IDAHO, AMERIKA SYARIKAT - Pesawat pengisi minyak Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Airbus A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT), yang telah menggantikan pesawat KC-135R, bakal mengakhiri latihan pertama di luar negeri.
Latihan Forging Saber, yang melibatkan sekitar 600 askar daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu diadakan di Pangkalan Udara Mountain Home sejak 30 September dan dijadual berakhir hari ini (10 Oktober).
Ini adalah kali pertama latihan serangan bersepadu merangkumi pengisian semula udara ke udara.
Latihan pengisian minyak seperti itu membolehkan jet pejuang RSAF untuk menjalani misi lebih lama dalam satu penerbangan.
Pada Selasa (8 Oktober), wartawan diberi peluang untuk menyaksikan satu misi pengisian minyak di udara dengan menaiki pesawat MRTT. Mereka telah melihat proses pengisian tersebut pada lima pesawat jet pejuang dalam penerbangan selama tiga jam.
Menurut laporan The Straits Times, RSAF mengendalikan empat pesawat MRTT, yang diperolehi dari Amerika Syarikat, yang menawarkan ketahanan, kapasiti kargo dan penumpang yang lebih baik berbanding pesawat KC-135R, malah boleh membawa berat maksimum sekitar 111,000kg.