ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) telah mengadakan latihan menentang pengganasan di Bangunan Pit F1 malam kelmarin.
Latihan itu diketuai Pasukan Petugas Operasi Khas (SOTF) dengan pegawai daripada Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Bahan Letupan (CBRE DG) dan Pasukan Respons Perubatan (MRF).
Dalam kenyataannya, SAF berkata, helikopter Super Puma daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah digunakan semasa latihan tersebut.
SAF menambah senario latihan sedemikian memerlukan pasukan yang dikerah bertindak balas terhadap situasi tebusan dan menghapuskan ancaman dengan cepat di dalam Bangunan Pit F1 itu.
Ini bertujuan "mengukuhkan respons SAF terhadap ancaman pengganasan dan kejadian berkaitan.
"Pengaturan latihan yang realistik menguji kesediaan operasi SAF dan latihan itu dilakukan dengan ketepatan tinggi," tambah SAF.
Latihan menentang pengganasan dalam persekitaran bandar membolehkan SAF melatih dengan berkesan dan realistik demi memperkukuh keupayaannya dalam operasi keselamatan dalam negara.
Latihan juga diadakan secara kerap untuk memastikan SAF kekal bersedia secara operasi demi melindungi keselamatan dan kedaulatan Singapura.
"SAF kekal bersedia menangani pelbagai jenis ancaman untuk melindungi Singapura dan kehidupan kita meskipun dalam pandemik Covid-19," kata SAF lagi.