Latihan simulator wajib bagi pelajar memandu mulai 2019

PEMANDU yang masih belajar memandu kenderaan akan perlu menjalani latihan simulator mandatori mulai 2019.

Ini akan dilakukan menerusi penggunaan simulasi memandu yang akan disediakan di sekolah memandu di sini, umum Polis Trafik (TP) dalam satu sidang media hari ini.

Inisiatif itu, yang akan diuji dalam suku pertama tahun depan, akan membolehkan pelajar belajar memandu dengan selamat di jalan raya dan cara bertindak apabila berdepan dengan situasi bahaya dalam sekitaran selamat dan terkawal.

Perincian latihan itu akan ditentukan selepas tempoh percubaan itu.

Namun, Komander TP, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Sam Tee, berkata ia akan membantu pelajar belajar bertindak dalam situasi kecemasan dan pelbagai senario lain seperti menekan brek semasa hujan.

TP turut membuat pengumuman lain semasa sidang media itu, antaranya pelancaran laman pembelajaran dalam talian TP baru esok, dan lanjutan tempoh kesahan lesen memandu sementara (PDL) daripada enam bulan kepada dua tahun menjelang hujung tahun ini.

Laman itu, yang boleh dilungsuri di www.police.gov.sg, akan menampilkan video animasi bagi mendidik orang ramai tentang pencegahan kemalangan dan ujian teori percubaan dalam talian bagi pemandu pelajar.

Buku Memandu Teori Asas dan Akhir digital percuma dalam empat bahasa rasmi juga akan disediakan di laman itu dan penerbitan salinan keras buku itu akan dihentikan mulai esok.

Menjelang suku keempat tahun ini, pemandu pelajar juga boleh memohon atau memperbaharui PDL mereka dalam talian manakala kad PDL tidak akan lagi disediakan.