Lawatan 6 hari Putera Mahkota Brunei eratkan lagi hubungan

PUTERA Mahkota Brunei, Putera Haji Al-Muhtadee Billah, telah mengunjungi pusat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum mengakhiri lawatan rasmi enam harinya ke Singapura.

Kelmarin, beliau mengadakan lawatan ke Pusat Simulasi Perisai untuk memerhatikan latihan dan menemui askar Brunei yang berlatih di pusat itu.

Dihos Menteri Kedua Pertahanan Ong Ye Kung, Putera Mahkota itu merupakan pelawat asing pertama ke pusat itu, yang dibuka rasmi dalam satu upacara berasingan kelmarin.

Beliau diberi taklimat tentang sistem simulasi maya bagi penggunaan meriam, pergerakan taktikal dan latihan memandu, kata Kementerian Pertahanan (Mindef). Beliau turut menyaksikan demonstrasi dua simulator – Simulator Memandu Berperisai dan Simulator Meriam Perisai dan Pergerakan – yang membolehkan tentera mengasah kemahiran mereka tanpa keluar bangunan.

Dalam satu kenyataan, Mindef berkata lawatan itu “menekankan hubungan pertahanan yang erat antara Singapura dengan Brunei yang terjalin sejak 1976”.

Rabu lalu, Putera Haji Al-Muhtadee Billah mengunjungi Pusat Taktikal Home Team (HTTC) di Mandai Quarry Road pula.

Lawatannya ke pusat itu dihos Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam.

Di sana, Putera Haji Al-Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, menyaksikan demonstrasi menentang pengganasan oleh Pasukan Respons Darat dan Pasukan Respons Kecemasan dari SPF.

Askar Kerahan Pantas dan Pasukan Antikerumun daripada Pasukan Operasi Khas turut terlibat dalam latihan itu.

Ia diikuti dengan satu lagi demonstrasi antipengganasan oleh Unit Taktik Khas dan Penyelamat, termasuk demonstrasi penembak hendap dan serangan bersenjata melalui kenderaan.

Lawatan itu berakhir dengan Putera Haji Al-Muhtadee Billah menandatangani buku pelawat dan bertukar hadiah dengan Encik Shanmugam.

Putera Haji Al-Muhtadee Billah berada di Singapura bagi satu lawatan rasmi selama enam hari, yang berakhir hari ini.

Beliau berkunjung ke Singapura atas undangan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara.

Lawatan itu juga sebahagian Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei Keempat.

Program itu dilancarkan pada 2013 untuk mengukuhkan hubungan rapat antara pemimpin muda dari kedua-dua negara.

Putera Haji Al-Muhtadee Billah ditemani isterinya, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; dan anak mereka Putera ‘Abdul Muntaqim; Puteri Muneerah Madhul Bolkiah; dan Putera Muhammad Aiman.

Anggota delegasi Brunei lain termasuk Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dato Roselan Daud, serta pegawai kanan.

Isnin lalu, Putera Haji Al-Muhtadee Billah telah menemui Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menjamu Putera Mahkota itu makan tengah hari di Istana. Keesokannya, beliau mengunjungi Pulau Coney bersama keluarganya dan DPM Teo.

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.