Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lawatan ke zoo pupuk sifat empati anak terhadap haiwan

Jan 09, 2023 | 05:30 AM



JIKA anda mempunyai anak kecil, saya pasti antara tempat tarikan pertama yang akan anda bawa anak anda ialah ke taman haiwan.



Saya juga tidak terkecuali malah mendaftar pakej keahlian agar lebih murah setiap kali jika mahu ulang-alik ke Zoo Singapura.



Oleh sebab tapak kawasannya yang luas, memang agak sukar melawati setiap haiwan atau menyaksikan setiap pertunjukan.



Mentelah lagi di Singapura, menjadi ahli Mandai Wildlife Reserve bermakna anda juga bukan sahaja boleh mengunjungi taman haiwan bahkan River Wonders dan Safari Malam.



Dan akan datang, Taman Burung, atau yang akan dikenali sebagai Bird Paradise, juga akan disertakan dalam senarai kumpulan ini selepas Taman Burung Jurong melabuhkan tirainya minggu lalu selepas lima dekad beroperasi di tapak lama.



Mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang menarik atau penting sangat kunjungan ke zoo buat si cilik?



Hari ini, zoo mempunyai unsur hiburan yang boleh menghiburkan dan mendidik orang awam tetapi pada masa yang sama mempunyai tumpuan kukuh terhadap penyelidikan saintifik dan pemuliharaan spesies.



Menurut sebuah Persatuan Taman Haiwan ternama, sekitar 183 juta orang mengunjungi sebuah taman haiwan yang bertauliah setiap tahun, dengan 69 peratus daripadanya merangkumi kumpulan yang terdiri daripada kanak-kanak.



Perangkaan ini menunjukkan bagaimana zoo merupakan tempat yang baik untuk keluarga dan sahabat-handai bersama.



Di samping itu, selain merapatkan hubungan antara keluarga, terdapat banyak lagi kelebihan bagi kanak-kanak apabila mereka mengunjungi zoo.



Antara yang ketara ialah meningkatkan kesedaran tentang bagaimana alam sekitar mempunyai kesan terhadap kehidupan haiwan dan kesan manusia terhadap haiwan.



Ia juga menitikberatkan tentang soal pemuliharaan dan jagaan haiwan tersebut.



Pastinya, dengan pengetahuan sedemikian, ia akan dapat memupuk rasa empati dalam diri kanak-kanak terhadap haiwan.



Dengan melihat haiwan dalam sekitaran alam semula jadinya, ia dapat membantu anak-anak memahami bahawa binatang juga adalah makhluk dan mempunyai keperluan tertentu untuk hidup.



Pemahaman ini akan memupuk sifat ihsan dan empati terhadap haiwan.



Tetapi apa yang paling saya suka setiap kali melawat taman haiwan ialah ia memberi peluang kepada anak-anak meneroka sendiri sekitaran mereka dalam keadaan selamat dan membuat penemuan baru.



Ada kalanya juga ia memberi mereka peluang mengalami dan membuat penilaian terhadap cara kehidupan binatang itu sendiri.



Mereka juga gemar bertanya dan seronok mempelajari sesuatu yang baru tentang haiwan itu meski setiap kali terjumpa haiwan yang sama.



Mentelah lagi, lawatan sehari suntuk ke zoo akan mengalihkan tumpuan mereka daripada gajet kepada alam sekeliling mereka.



Ketika saya bercuti ke Bali, Indonesia, baru-baru ini, saya juga mengambil kesempatan mengunjungi taman haiwan pulau itu.



Apa yang menarik tentang taman haiwan di sana ialah ia memberi peluang kepada pengunjung memberi makan kepada beberapa jenis haiwan namun dengan dikenakan bayaran.



Yang seronoknya, dengan 500,000 rupiah ($4.30), anda boleh memberi makan seketul ayam mentah kepada sang singa atau harimau.



Ini akan dilakukan pastinya dalam keadaan selamat di mana anda di luar kandang harimau itu dan memegang palang besi yang hujungnya disemat dengan daging ayam tadi.



Penjaga haiwan itu kemudian akan memanggil nama haiwan tersebut dan haiwan itu akan seolah-olah berdiri untuk mengambil makanan tadi, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung memetik gambar.



Salah satu haiwan yang menarik perhatian anak-anak saya semasa di zoo Bali itu ialah lemur.



Ia lebih dikenali menyusuli wataknya selaku King Julian yang agak selamba dalam filem Madagascar dengan lagu popular I Like to Move It, Move It.



Sangkanya, lemur ini mempunyai cakar yang agak tajam tetapi sebaliknya ia begitu lembut dan bulunya juga cukup cantik dan lembut apabila disentuh.



Sebaik sahaja anda memberinya makanan (haiwan ini makan sayur kobis dan anggur), ia akan terus hinggap di bahu anda untuk mengambil makanan itu yang kami beli pada harga 100,000 rupiah.



Penjaga haiwan yang baik hati dan berpengetahuan juga meningkatkan lagi pengalaman kami semasa di kawasan lemur itu.



Walaupun pada awalnya anak-anak saya agak gerun melihat lemur itu melompat ke atas bahu, penjaga haiwan itu memberi keyakinan bahawa binatang itu jinak dan tiada apa yang perlu ditakutkan.



Kami menghabiskan masa agak lama di kawasan itu dengan memberi makan, bermain dengan binatang itu, bergambar dan juga berpeluang memegang iguana besar berwarna hijau dan jingga yang turut tinggal di kawasan yang sama dengan lemur.



Ternyata pengalaman yang cukup bermakna itu mempunyai kesan yang mendalam pada diri anak-anak saya yang memang gemar haiwan.



Bak kata seorang penyair Perancis, Anatole France: "Until one has loved an animal, a part of one's soul remains unawakened", atau 'Hanya sehingga seseorang itu mencintai haiwan, sebahagian daripada jiwa orang itu masih belum terjaga'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >