Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lawatan Khairy pererat hubungan S'pura-M'sia

Jun 01, 2022 | 05:30 AM



MENTERI Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, telah bertemu dengan beberapa menteri Singapura sempena lawatannya ke negara ini sejak semalam.



Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Khairy melawat Singapura hingga lusa sebagai Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF).



Beliau merupakan Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew ke-71 dan yang ketujuh dari Malaysia.



Antara pemimpin Singapura yang bertemu dengan Encik Khairy semalam ialah Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Encik Wong berkata beliau gembira dapat bertemu dengan Encik Khairy untuk makan tengah hari bersama di bangunan Treasury.



"Saya ingat banyak interaksi antara kami semasa kami menerajui portfolio belia dan sukan beberapa tahun lalu, termasuk semasa Singapura menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA pada 2015.



"Betapa cepat masa berlalu!" ujarnya menerusi Facebook beliau semalam.



Encik Wong juga melahirkan rasa senang berpeluang bertemu dengan Encik Khairy lagi dan mengikuti perkembangan masing-masing.



Encik Khairy juga berkata beliau gembira bertemu dengan Encik Wong.



"Kami berdua berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan pada waktu yang sama dahulu.



"(Beliau) juga telah dipilih sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) pemimpin politik Singapura.



"Saya mengucapkannya yang terbaik sedang beliau bersiap sedia menggalas tugas utama (sebagai perdana menteri Singapura)," ujar beliau di Twitternya semalam.



Sebelum itu, beliau juga telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, di mana mereka antara lain membincangkan tentang hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.



Encik Khairy turut berkongsi kenyataan Pegawai Tugas Khas, Pejabat Menteri Kesihatan Malaysia, Cik Melissa Ashley Johnson, di Twitter beliau yang menyatakan:



"Encik Khairy bertemu dengan Encik Heng selama hampir sejam pagi tadi (semalam) di Singapura.



"Mereka bercakap tentang pentingnya memelihara hubungan dua hala kita dan Encik Khairy juga menyarankan agar Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk memastikan keadaan bersiap sedia menghadapi pandemik pada masa akan datang buat Asean."



Dalam lawatannya itu, beliau juga dijadual bertemu Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong; Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.



Menurut kenyataan MFA, pengerusi Program Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF), Encik Lee Tzu Yang, juga akan menganjurkan jamuan malam bagi Encik Khairy.



Sempena lawatannya itu, Encik Khairy turut berucap di Persidangan Asia Tech x Singapore (ATxSG) anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).



Beliau turut disertai Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berbincang tentang usaha memikirkan semula penjagaan kesihatan dalam landskap digital.



Encik Ong menarik perhatian bahawa banyak perkara yang tidak dapat dilakukan sebelum Covid-19 kini boleh dilakukan dan ia boleh dilakukan dengan alat digital.



"Perkara yang membuat saya paling teruja tentang keadaan pasca Covid-19 ialah... semua orang mempunyai aplikasi penjagaan kesihatan dalam telefon bijak mereka.



"Jadi persoalannya ialah... sedang kita bergerak atau beralih ke arah strategi penjagaan bersifat pencegahan... bagaimana boleh kita memanfaatkan aplikasi?



"Ini kerana penjagaan bersifat pencegahan bukan di hospital dan bukan di klinik, tetapi di rumah, dalam masyarakat dan apa yang ada dengan orang ramai ialah aplikasi dan telefon bijak," kata Encik Ong.



Mengongsi beberapa rancangan menggalak penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan di luar pandemik Covid-19, Encik Khairy berkata proses sedia ada, seperti rekod vaksinasi zaman kanak-kanak, boleh didigitalkan dengan mudah.



Data perubatan penduduk yang diperolehi melalui pemeriksaan kesihatan juga boleh direkod dalam aplikasi seperti aplikasi penjejakan kontak MySejahtera, agar ia dapat mudah diakses.



"Cabaran terbesar yang kita hadapi dalam penjagaan kesihatan pasca Covid-19, terutamanya di Malaysia dan mungkin di Singapura juga, adalah penyakit lain yang tidak berjangkit.



"Ini adalah beban penyakit terbesar yang akan kita hadapi dalam tempoh 10 tahun akan datang.



"Jadi bagaimana kita boleh menggunakan aplikasi ini dan menyesuaikannya untuk memastikan orang ramai boleh menggunakannya sebagai aplikasi bagi penjagaan kesihatan bersifat pencegahan dan juga untuk menggalak penjagaan kesihatan," kata Encik Khairy.



Beliau juga antara lain akan mengadakan perbincangan dengan pegawai Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) serta melawat prasarana menguji sisa air bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).



Dibentuk pada 1991, LKYEF mengundang individu yang cemerlang bagi lawatan peringkat tinggi ke Singapura.



Menurut MFA, zamil itu dipilih berdasarkan rekod prestasi mereka dan potensi luar biasa mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara mereka dan hubungan dua hala dengan Singapura.



Program pertukaran sedemikian membantu memupuk dialog dan kerjasama serta mempererat kerjasama dua hala.



Dalam pada itu, Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, yang sedang melawat Singapura dari semalam hingga hari ini turut menyertai Persidangan ATxSG itu.



Menurut MFA, beliau dijadual bertemu dengan Encik Lee serta beberapa menteri lain termasuk Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran; serta Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.



Beliau juga akan mewakili Indonesia sebagai Presiden G20 di Dialog Kumpulan Tadbir Urus Global (3G) kedua bersama G20 Troika yang dipengerusikan Dr Balakrishnan, kata MFA. Dialog itu akan dihadiri 24 duta besar dan wakil negara anggota 3G. - Laporan tambahan NUR DHUHA ESOOF




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >