Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lawrence Wong: Pakej bantuan GST boleh imbang 10 kali kos cukai naik sesetengah keluarga

Feb 10, 2022 | 05:30 AM



PAKEJ bantuan yang akan dilancar bagi mengimbangi kesan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan datang boleh menampung lebih 10 kali ganda jumlah tambahan yang akan dibelanjakan oleh sesetengah keluarga, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Beliau berkata demikian semalam bagi menangani kebimbangan warga kenaikan cukai mungkin menaikkan harga dan meningkatkan kos sara hidup.



Dalam kiriman video di Facebook semalam, Encik Wong memberi jaminan akan ada satu set langkah menyeluruh yang akan mengimbangi peningkatan perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta pesara.



Mesej Encik Wong dikirimkan sedang harga barangan dan perkhidmatan meningkat secara berterusan di Singapura, dengan inflasi teras mencecah paras tertinggi lapan tahun sebanyak 2.1 peratus pada Disember, meningkat daripada 1.6 peratus pada November.



Sedang bil barangan runcit dan utiliti melambung tinggi, ada yang menyuarakan kebimbangan kenaikan GST daripada 7 peratus kepada 9 peratus, akan menaikkan lagi harga.



Memberi gambaran yang lebih baik tentang bagaimana Pakej Jaminan $6 bilion yang bertujuan mengimbangi kenaikan itu akan membantu warga, Encik Wong berkata pasangan yang mempunyai dua anak dan berpendapatan $5,000 sebulan akan menerima manfaat sekitar $6,500 di bawah pakej tersebut.



Ini adalah kira-kira 10 kali GST tambahan yang perlu mereka bayar setiap tahun, tambahnya.



Selain langkah mengimbangi peralihan itu, pemerintah juga akan mempertingkat skim baucar GST secara kekal, yang diperkenal dalam Bajet 2012 bagi membantu rakyat Singapura yang berpendapatan rendah, katanya.



Beliau menambah akan berkongsi butiran lanjut dalam ucapan Belanjawan pada Jumaat depan.



Kenaikan GST pertama kali diumum pada 2018 dan pemerintah berkata ia perlu dilaksanakan menjelang 2025.



Dalam perutusan Tahun Baru, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata pemerintah perlu mula "bergerak" sedang ekonomi Singapura mula pulih daripada wabak Covid-19.



Encik Wong berkata kenaikan GST akan membawa hasil tambahan yang diperlukan oleh Singapura untuk menjaga warga tua dengan lebih baik dan menampung kos jagaan kesihatan yang semakin meningkat.



"Singapura kini berada pada titik perubahan kritikal. Kita masih mengharungi wabak hari ini. Pada masa yang sama, kita bekerja keras membina Singapura yang lebih baik untuk hari esok," tambahnya.



"Untuk berbuat demikian, kita perlu menambah pelaburan dalam rakyat dan prasarana sosial kita. Kenaikan GST akan membantu menjana pendapatan yang kita perlukan bagi tujuan ini."



Perbelanjaan penjagaan kesihatan Singapura dijangka mencecah $59.1 bilion pada 2030, meningkat daripada $20.7 bilion pada 2018.



Dan kadar mereka yang berumur 65 tahun ke atas akan membentuk 25 peratus daripada penduduk menjelang 2030 - naik daripada 17.6 peratus pada masa ini.



Pada tahun kewangan 2020/21, pemerintah mengumpul $10.3 bilion dalam bentuk GST, menyumbang 21 peratus daripada hasil cukai pemerintah.



Ia merupakan penyumbang terbesar selepas cukai pendapatan korporat sebanyak 33 peratus dan cukai pendapatan individu sebanyak 26 peratus.



Dengan kenaikan 2 peratus itu, GST boleh mengatasi cukai pendapatan individu sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada dana negara.



Encik Wong, menambah: "Semasa saya membesar, ibu mengajar saya kepentingan berjimat dan hidup ikut kemampuan dan menjaga orang di sekeliling kita.



"Nilai-nilai ini terus membimbing saya dan saya pasti ia bergema dengan ramai dalam kalangan anda."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >