Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

LBKM derma $300,000 kepada Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan NUS

Sep 30, 2022 | 05:30 AM



LEMBAGA Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) semalam telah mendermakan sebanyak $300,000 sebagai dana endowmen kepada Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS) Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk membentuk sebuah biasiswa baru.



Dengan derma tersebut yang turut disokong sumbangan geran yang dipadankan oleh pemerintah, LBKM menetapkan matlamat menawarkan tiga Biasiswa Sains Kemasyarakatan LBKM setiap tahun dengan setiap penerima biasiswa mendapat $5,000, kata LBKM.



Permohonan biasiswa bakal dibuka pada tahun akademik bermula Ogos tahun depan, kata LBKM dan NUS dalam satu kenyataan bersama semalam.



Ia akan diberikan kepada pelajar warga Singapura tahun ketiga dan keempat yang sedang menuntut dalam jurusan Perhubungan dan Media Baru, Ekonomi, Pembelajaran Global, Falsafah, Politik dan Ekonomi, Sains Politik, Psikologi, Kerja Sosial serta Sosiologi dan Antropologi.



"(Biasiswa) ini bermatlamat menggalakkan prestasi akademik yang baik dalam bidang sains kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa FASS dan menggalak mereka mencapai kecemerlangan dalam kegiatan sekolah," tambah kenyataan itu.



Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi menyerahkan cek di bilik mesyuarat Dekan, Blok AS7 NUS, FASS dalam satu majlis pagi semalam kepada Profesor Madya, Dr Loy Hui Chieh, Naib Dekan sekolah itu.



Dekan NUS FASS, Profesor Lionel Wee, berkata: "Biasiswa tersebut akan membolehkan kami menarik dan menggalak pelajar sains kemasyarakatan yang menunjukkan prestasi baik dan berminat mempertingkat kemahiran dan mencapai potensi sepenuh mereka.''



Beliau melahirkan penghargaannya kepada LBKM atas keyakinan dan sokongan teguh persatuan itu kepada NUS.



Sumbangan itu merupakan dana pembiayaan keempat oleh LBKM kepada universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan yang kedua kepada NUS.



Mac tahun lalu, LBKM menderma $300,000 kepada Sekolah Perkomputeran bagi memperluas Biasiswa Ekonomi Masa Depannya yang pertama kali ditubuhkan pada 2017.



Dr Syed Harun pula berkata, biasiswa sains kemasyarakatan baru itu adalah sebagai tambahan sokongan LBKM terhadap pelajar FASS.



Sejak 2007, derma LBKM - disokong pendermaan oleh masyarakat - berjumlah lebih $300,000 - kepada FASS telah memberi manfaat kepada seramai 160 pelajar.



Ia telah menyokong mereka dari segi kewangan dan menggalak mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka.



"Sokongan LBKM kepada mahasiswa dalam bidang sains kemasyarakatan adalah sangat penting sedang keperluan orang ramai dan masyarakat kian bertambah rumit, sentiasa berubah dan melibatkan pelbagai disiplin," kata Dr Syed Harun.



"Ia diharapkan usaha LBKM yang diteruskan ini akan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sains kemasyarakatan serta membina pemimpin masa depan yang bukan sahaja menunjukkan prestasi baik dalam bidang akademik malah menyumbang balik kepada masyarakat."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >