PENDUDUK Singapura boleh mengambil pelitup percuma di 15 pusat beli-belah CapitaLand dan cawangan pasaraya Sheng Siong, Prime Supermarket, Cold Storage, FairPrice Xtra dan Giant tertentu dari 26 Ogos hingga 26 September.
Ini antara lebih daripada 130 tempat mengambil pelitup di seluruh negara, kata Yayasan Temasek dalam satu kenyataan semalam.
Setiap isi rumah boleh mengambil 50 pelitup pembedahan gred perubatan dan 25 pelitup pernafasan N95.
Untuk mengambil pelitup itu, orang ramai perlu menunjukkan bil kertas kediaman SP atau elektronik dengan nombor akaun bil utiliti (kediaman) SP Group mereka.
Nombor itu akan diimbas dan direkod sebelum pelitup diberikan.
Penduduk juga boleh memberikan nombor akaun kediaman SP mereka untuk pengesahan manual.
Wakil isi rumah digalak mengurangkan sampah plastik dengan membawa beg sendiri untuk membawa pulang kotak-kotak pelitup itu apabila pengagihan bermula, kerana beg tidak akan diberikan.