LEBIH 150,000 guru dan kakitangan di institusi pendidikan akan ditawarkan vaksin Covid-19 mulai esok, kata Kementerian Pendidikan (MOE), semalam.
MOE berkata ini sejajar dengan usaha Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memperluaskan vaksinasi kepada pekerja yang menawarkan khidmat penting.
"Ini menambah kepada usaha kami untuk terus menjaga keselamatan institusi pendidikan kerana kanak-kanak dan kebanyakan pelajar belum lagi layak untuk mengambil vaksin tersebut," kata MOE.
Vaksin itu akan ditawarkan kepada semua kakitangan sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia, serta sekolah pendidikan khas, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik.
Selain itu, ia juga akan diberikan kepada kakitangan di prasekolah yang berlesen di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) dan semua tadika yang berdaftar di bawah MOE, pusat intervensi awal dan program yang dibiayai oleh Ecda untuk kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah dengan keperluan pembangunan khas
Pekerja di sekolah swasta yang berdaftar di bawah MOE dan mempunyai pelajar sepenuh masa berusia 18 tahun dan ke bawah, institusi pendidikan privet - termasuk sekolah antarabangsa - dan madrasah juga akan ditawarkan vaksin.
Menurut MOE, mereka akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, untuk mengenal pasti individu bagi program vaksin tersebut.
Individu yang telah dikenal pasti akan menerima SMS untuk menempah slot di pusat vaksinasi, 20 poliklinik atau di klinik swasta yang beroperasi sebagai pusat vaksinasi.
"Walaupun vaksin Covid-19 tidak wajib, kami menggalakkan semua individu yang layak dari segi kesihatan untuk mendapatkannya. Ini ialah cara untuk kita melindungi bukan hanya mereka yang bekerja di sektor pendidikan, tetapi juga pelajar kami yang belum layak mengambil vaksin itu," kata MOE.
Sejauh ini, lebih 217,000 oran telah menerima dos vaksin yang kedua.