Lebih 200 jenis kari boleh dicuba secara percuma

PADA September, landasan pejalan kaki di Little India akan menjadi tempat di mana anda boleh menikmati pelbagai sejenis lauk kari.

Sekitar 200 jenis kari dari pelbagai budaya akan disajikan di Campbell Lane pada 14 September, untuk meraikan kedatangan sambutan Deepavali pada Oktober nanti.

Acara tersebut adalah satu usaha untuk memasuki Buku Rekod Singapura.

Sajian lauk-lauk kari itu akan diberikan secara percuma.

Disediakan oleh pelbagai restoran dan persatuan, hidangan lauk kari dengan roti atau nasi itu merupakan antara acara yang dianjurkan oleh Persatuan Pegerai dan Warisan Little India (Lisha) untuk meraikan perayaan lampu itu tahun ini.

Sebuah perarakan di jalan raya serta acara penyalaan lampu di Race Course Road akan diadakan pada 7 September, sekaligus melancarkan sambutan perayaan Deepavali tahun ini, lebih daripada satu bulan sebelum sambutan Deepavali sebenar diadakan pada 27 Oktober.

Perarakan itu akan menyingkap kembali sejarah Singapura dan perjalanan Little India dari 1819 hingga sekarang, selaras peringatan dwiabad Singapura, kata Lisha dalam satu kenyataan pada Khamis (22 Ogos).

Konvoi kenderaan, termasuk kereta kerbau, iaitu antara pengangkutan paling awal di Singapura, beca dan kereta vintaj akan dipandu di Race Course Road, sambil para pelakon dan penari akan menyingkap kembali naratif sejarah lampau Little India dan Singapura.

Bazar ‘Hipster’ Deepavali, yang menjual makanan ‘fusion’ India akan diadakan dari 23 September hingga 26 Oktober.

Sama seperti Bazaar Hari Raya di Geylang Serai yang popular, Hipster Bazaar merupakan inisiatif baru untuk menarik pengunjung muda ke kawasan itu, kata Lisha.

Setiausaha kehormat Lisha, Encik Ruthirapathy Parthasarathy berkata: "Anak-anak muda mungkin mempunyai idea yang berbeza, jadi kami berharap mereka dapat mengambil bahagian dan membawa idea baru, perkara baru kepada masyarakat melalui bazar ini."

Bazar ini akan menempatkan lebih 30 gerai makanan, dan akan diadakan di padang terbuka di sebelah Tekka Lane.

Pada masa yang sama, Kampung Perayaan Deepavali turut akan diadakan, dan akan menempatkan lebih banyak gerai menjual hiasan tradisional dan barangan untuk Deepavali. 

Kampung Perayaan Deepavali akan diadakan di Campbell Lane.

Sebuah konsert akan diadakan di padang Mackenzie Road pada malam hari raya Deepavali, pada 26 Oktober, di mana lebih 100 artis  akan membuat persembahan.

Bunga api akan ditembak pada malam itu untuk mengundang ketibaan Perayaan Lampu pada keesokan harinya.