Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih 2,000 penduduk meriahkan majlis Raya MAEC Sembawang

May 23, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS dua tahun beraya dalam keadaan sederhana dek pelbagai sekatan Covid-19, Kampung Admiralty kembali meriah dengan suasana Hari Raya semalam, dengan lebih 2,000 penduduk pelbagai kaum beraya bersama.



Acara rumah terbuka sempena Aidilfitri itu dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Sembawang.



Di acara itu, keluarga dan teman-teman berpeluang merapatkan ukhwah sesama mereka sambil berhibur dan menjamu selera dengan pelbagai juadah Hari Raya seperti lontong, nasi kuning, ayam masak merah, rendang, putu piring serta kuih tradisional Melayu lain.



Antara mereka yang hadir ialah Cik Saadiah Abas, 63 tahun, yang hadir bersama suami, anak dan cucunya.



Cik Saadiah yang tinggal di Woodlands berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menghadiri acara itu kerana rindukan sambutan Hari Raya bersama penduduk lain selepas dua tahun tidak dapat melakukan demikian.



"Dah lama kita tak dapat berkumpul ramai-ramai dan jumpa orang dekat-dekat macam ini sambil menonton persembahan dan makan-makan," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga ghairah dapat menyambut Hari Raya bersama Anggota Parlimen kawasan undinya, Cik Mariam Jaafar, di acara itu.



Bagi Cik Ainah Zainal, 75 tahun, beliau juga teruja dapat bertemu dengan kawan baru di acara sambutan Hari Raya di Kampung Admiralty itu semalam.



Beliau hadir di acara itu sendiri namun berkenalan dengan seorang lagi penduduk Woodlands, Hajah Maimunah Hussain, 68 tahun, yang juga hadir sendiri, semasa mereka sedang menjamu selera.



"Ini kali pertama saya hadir di acara ini, jadi sukalah dapat bertemu kawan baru," ujar beliau.



Sementara itu, penduduk bukan Muslim yang menyertai acara semalam juga dapat memahami erti Aidilfitri dengan lebih dekat sambil menjalin hubungan lebih erat dengan penduduk lain.



Bagi Cik Claire Teo, 50 tahun, yang menghadiri acara itu bersama suami dan dua anaknya, beliau gembira mendapat peluang berinteraksi dengan penduduk lain di acara semalam.



"Selama dua tahun, kami tak ada peluang sebegini disebabkan pandemik Covid-19.



"Baguslah kami dapat hidupkan semula semangat kampung ini sambil menikmati pelbagai juadah Melayu yang sedap," ujar Cik Teo yang gemar hidangan rendang.



Acara itu turut diserikan kehadiran Anggota Parlimen GRC Sembawang termasuk Cik Mariam, Encik Vikram Nair dan Cik Poh Li San.



Cik Mariam menyifatkan Hari Raya tahun ini sebagai istimewa, dengan ramai keluarga dapat berpakaian sedondon semasa berjalan Raya dan menziarahi satu sama lain di serata Singapura.



"Hari Raya juga dikenali sebagai Hari Kemenangan... dan biasanya, kemenangan ini adalah mengatasi rasa lapar dan dahaga semasa Ramadan serta mengatasi cabaran peribadi kita.



"Namun tahun ini, kemenangan ini lebih istimewa kerana kita lakukannya bersama sebagai satu Singapura yang bersatu padu (termasuk) pemimpin, pertubuhan akar umbi dan pekerja barisan depan kita serta anda semua," ujarnya.



Meskipun terdapat banyak cabaran lain - seperti kos sara hidup, perang di Ukraine, kesihatan mental dan kemungkinan varian baru - yang perlu diatasi bersama sebagai sebuah negara, Cik Mariam berkata beliau yakin Singapura akan menghadapinya dengan mentaliti yang positif jika negara ini terus bersatu dan mengambil berat tentang satu sama lain, dan semuanya akan berakhir dengan baik.



Penduduk juga dihiburkan dengan konsert Suara Utara - Gema Syawal sempena acara rumah terbuka semalam.



Ini merupakan konsert kedua anjuran Suara Utara Kelab Masyarakat Woodlands selepas konsert Rock Untuk Rakyat yang berlangsung bulan lalu.



Konsert semalam antara lain dibintangi selebriti seperti Ryzall Noh, Rahila Rashun, Eiss Ismail, Elfee Ismail, Mawar Berduri dan Qis Maraj.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >