LEBIH 39 pegawai dan jabatan polis diiktiraf atas kecemerlangan mereka menangani kes penculikan ibu ketua pegawai eksekutif (CEO) Sheng Siong baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri (DPM) Teo Chee Hean memberikan anugerah kecemerlangan operasi dalam satu majlis di ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) pagi tadi.
Antara pegawai Muslim terlibat menangkap pesalah kes tersebut ialah Penolong Superintenden (ASP) Burhanudeen Haji Hussainar, 48 tahun.
ASP Burhanudeen bertanggungjawab bagi Pasukan A, Bahagian Siasatan Khas, Divisyen Jenayah Berat, CID.
"Kerja saya bermula sewaktu kes diterima dan hanya berakhir apabila kami berjaya mengemukakan tuduhan ke atas pesalah," ujarnya yang pernah menguruskan kes serupa sebelum ini.