LEBIH dari 50,000 orang telah memohon untuk Geran Sokongan Covid-19 sejak permohonan dibuka pada 4 Mei lalu.
Geran tersebut diperuntukkan bagi membantu warga Singapura yang kehilangan pekerjaan akibat wabak tersebut, pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, dan mereka yang mendapat gaji berkurangan ketara pada bulan-bulan akan datang kerana pandemik koronavirus.
Mereka akan menerima geran tunai $800 bagi tiga bulan (disalur menerusi akaun bank).
Mengumumkan demikian menerusi laman Facebook beliau semalam (31 Mei), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga & Menteri Kedua Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata mereka yang mempunyai kesulitan untuk mendapatkan dokumen yang tepat untuk membuktikan status pekerjaan mereka harus menghubungi pejabat perkhidmatan sosial Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi mendapatkan bantuan.
Program dan khidmat sosial yang dibiayai MSF akan dibuka semula secara selamat dan bertahap mulai esok (2 Jun).
Ini termasuk pusat khidmat keluarga (FSC), pusat kegiatan siang hari (DAC) bagi orang kurang upaya dan pusat jagaan pelajar khas (SSCC).
Dalam pada itu, Encik Lee turut mendedahkan bahawa MSF dalam proses membuat semakan permohonan yang diterima telah menemui tiga kes di mana dokumen palsu telah diserahkan.
Pihak polis telah dimaklumkan tentang perkara itu setelah kakitangan MSF melakukan pemeriksaan latar belakang.
“Percubaan untuk menipu sistem akan melambatkan proses kita mendapatkan bantuan kepada pemohon yang benar-benar memerlukan bantuan,” kata Encik Lee.