Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Lebih 5,500 kubur di Choa Chu Kang telah dituntut

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

PENGGALIAN DAN PENGEBUMIAN SEMULA MAYAT ISLAM DI SINGAPURA

Lebih 5,500 kubur di Choa Chu Kang telah dituntut

Mar 31, 2018 | 05:30 AM

LEBIH 5,500 kubur, atau hampir 30 peratus perkuburan Islam di Choa Chu Kang yang dikenal pasti untuk digali dan ditanam semula, telah dituntut waris - sekitar tujuh bulan sebelum proses itu dimulakan.

Kubur yang tidak dituntut selepas tempoh tuntut setahun luput pada 25 September ini tetap akan digali dan tinggalan mayatnya dikebumikan semula, kata penolong naib presiden Wareesan Management, Encik Zafaran Khan.

Justeru, beliau menggesa waris tampil membuat tuntutan, walau mereka tidak pasti nombor blok atau plot kubur ahli keluarga mereka yang mungkin terjejas.

"Kami sedia membantu mereka mengenal pasti kubur ahli keluarga mereka, tujuan kami hanya membantu mempermudah proses ini," kata Encik Zafaran.

Wareesan Management ialah anak syarikat Warees Investments - cabang perniagaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) - yang dilantik Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), untuk menguruskan penggalian dan pengebumian semula tinggalan mayat Islam di Singapura.

Hampir 19,000 kubur dari enam blok perkuburan - Blok 6-9 dan Blok 19-20 di Pusara Aman - terjejas dalam fasa penggalian dan pengebumian semula kubur Islam kali ini.

Menurut Encik Zafaran kebanyakan kubur yang dituntut waris berada di Blok 19-20 dan berusia antara 15 dengan 20 tahun.

Kubur di empat blok lagi pula berusia lebih 20 tahun dan sejauh ini kurang dituntut waris.

"Satu manfaat membuat tuntutan awal ialah jika syarat dipenuhi, kami boleh menguruskan supaya tinggalan mayat dari kubur yang terjejas dikebumikan semula dengan tinggalan mayat ahli keluarga lain yang dikebumikan di blok lain," ujar Encik Zafaran.

Biasanya, sejumlah lapan tinggalan mayat yang dituntut akan dikebumikan semula dalam satu kubur, sementara 16 tinggalan mayat yang tidak dituntut akan dikebumikan semula bersama.

Secara purata, sekitar 10 waris tampil setiap hari untuk mendaftar dan membuat tuntutan di Pejabat Penggalian dan Pengebumian Semula, di Masjid Pusara Aman.

Ia menerima pendaftaran waris yang datang tanpa temu janji, tetapi kebanyakan waris membuat temu janji di dalam talian sebelum mendaftar di pejabat, kata Encik Zafaran.

Proses pendaftaran dan pengesahan kubur biasanya mengambil masa antara satu dengan tiga jam.

Kubur yang telah dikenal pasti oleh waris akan ditandakan dengan pelekat kod QR unik yang kalis air dan dibalut dengan plastik.

Kod itu akan mengiringi tinggalan mayat selepas ia dikeluarkan, sehingga ia dikebumikan semula.

Seorang waris yang ditemui Berita Harian semasa membuat tuntutan baru-baru ini ialah Encik Rahim Mohamed Raus, 62 tahun.

Menurut Encik Rahim, yang sedang menuntut kubur arwah ayahnya, proses kali ini, dengan bantuan teknologi, adalah lebih mudah dan selesa.

Beliau pertama kali membuat tuntutan bagi kubur arwah abangnya di Perkuburan Bidadari yang dikosongkan antara 2001 dengan 2006 untuk memberi ruang kepada pembangunan baru.

"Jadual kerja saya ketat, jadi saya hargai pilihan untuk membuat temu janji di dalam talian sebelum pergi ke pusara untuk mendaftar dan membuat pengesahan," ujar Encik Rahim, yang bertugas sebagai pengurus khidmat rel di SMRT.

Sekitar 35,000 kubur Islam di tanah perkuburan Choa Chu Kang dijadual digali dan dikebumikan semula bagi memberi laluan untuk peluasan Pangkalan Udara Tengah (TAB).

Sejumlah 45,000 kubur Cina turut terjejas.

Mengikut maklumat di laman web NEA, sejak 2009, ini adalah penggalian dan pengebumian semula kubur ketiga melibatkan perkuburan Islam.

Sekitar 28,000 kubur Islam telah digali dan dikebumikan semula sejak tahun itu.

Pemerintah merancang meluaskan TAB untuk menampung pemindahan Pangkalan Udara Paya Lebar (PLAB) selepas 2030.

Pemindahan PLAB itu memberi ruang kepada pembangunan perumahan, pejabat, kilang dan taman baru di kawasan seluas 800 hektar - sekitar 800 padang bola sepak - di kawasan timur laut Singapura.


BAGAIMANA BUAT TUNTUTAN?

1) JANJI TEMU

Kunjungi www.pusara.sg bagi dapatkan tarikh dan masa pendaftaran khusus.

Anda juga boleh ke Pejabat Penggalian dan Pengebumian Semula di Masjid Pusara Aman.

Pejabat dibuka dari Isnin hingga Jumaat, antara 8.30 pagi dengan 12 tengah hari.

Tempoh tuntutan berakhir pada 25 September 2018.

2) DAFTAR

Bawa dokumen relevan seperti Sijil Pengebumian atau Sijil Kematian dan kad pengenalan.

Waris hanya dibenar membuat tuntutan jika mempunyai tinggalan mayat anggota keluarga yang dikebumikan di blok 6-9 dan 19-20.

3) PENGESAHAN

Waris akan diiringi pegawai menziarahi kubur dan membuat pengesahan.

Kubur yang telah dikenal pasti akan ditanda dengan kod QR dan waris diminta menandatangani dokumen elektronik sebagai tanda pengesahan.

4) TARIKH PENGGALIAN

Waris akan diberikan tarikh penggalian - yang dijangka bermula 26 September - selepas beliau membuat pengesahan kubur.

5) PERINGATAN SMS

Waris akan diberikan peringatan mengenai tarikh penggalian menerusi SMS. Beliau juga dikehendaki menyaksikan proses penggalian.

6) KEBUMI SEMULA

Tinggalan mayat akan dikebumikan semula dengan disaksikan waris. Waris diberikan plot dan blok baru.

Untuk keterangan lanjut, hubungi 6238-4504 atau kunjungi www.pusara.sg

SUMBER: WAREESAN, MUIS

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3