LEBIH 60 peratus pekerja yang diambil bekerja menerusi Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) tidak mendapat gaji yang lebih rendah.
Tiga daripada 10 pekerja sedemikian pula sebelum mendapat sokongan JGI tidak bekerja, kata Menteri Tenaga Manusia (MOM), Cik Josephine Teo.
"Kebanyakannya tidak bekerja lebih enam bulan," kata Cik Teo.
JGI memperuntuk subsidi gaji untuk menggalak majikan menggajikan pekerja setempat.
Memberi kemas kini ini semasa bahas belanjawan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam, Cik Teo berkata JGI, yang akan dilanjutkan tujuh bulan sehingga akhir September, adalah antara strategi pemerintah untuk memastikan warga terus bekerja.
"Demi mengurangkan kesan jangka panjang, kita harus bersedia menangani kehilangan pekerjaan seterusnya," kata beliau.
"Tanpa JGI melicinkan proses, pergerakan pekerja ke firma dan industri yang membangun akan berlaku secara lebih perlahan."
Pelanjutan JGI sebahagian usaha utama MOM menggalak majikan mengambil pekerja setempat dalam jangka pendek.
Cik Teo juga membentangkan dua keutamaan lain bagi MOM tahun ini, iaitu membantu setiap lapisan tenaga kerja bangkit lebih kukuh dan menyokong transformasi perniagaan.