LEBIH 6,800 lot letak kereta yang boleh diakses golongan kurang upaya disediakan di tempat letak kereta awam yang diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Menyatakan demikian di Parlimen semalam, Menteri Negara (Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata bilangan lot yang disediakan di tempat letak kereta HDB adalah selaras dengan Kod Boleh Diakses dalam Persekitaran Terbina.
Tempat letak kereta URA, yang biasanya merupakan tempat letak kereta bukan di jalan raya awam atau di tepi jalan yang bukan sebahagian daripada pembangunan, juga mengambil panduan daripada kod itu berhubung penyediaan lot letak kereta yang boleh diakses.
Dr Faishal berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Anggota Parlimen (AP) Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade) tentang sama ada lebih banyak lot letak kereta yang boleh diakses golongan kurang upaya akan disediakan di tempat letak kereta yang diuruskan HDB dan URA, serta semakan ke atas kod itu.
Di bawah Akta Kawalan Bangunan, semua pembangunan baru dan pembangunan sedia ada yang menjalankan kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian di tempat letak kereta mereka mesti menyediakan lot letak kereta yang boleh diakses mengikut kod itu.
Pembangunan dengan lebih 10 lot letak kereta dikehendaki menyediakan satu lot boleh diakses untuk setiap 50 lot bagi 100 lot pertama, dan satu lot boleh diakses untuk setiap 200 lot berikutnya atau sebahagian daripadanya.
"HDB dan URA juga akan mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak lot yang boleh diakses di tempat letak kereta mereka berdasarkan maklum balas orang ramai dan di mana sesuai melakukannya," kata Dr Faishal.
Keperluan kod itu, yang disemak oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setiap lima tahun, akan disemak tahun depan, tambahnya.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam jawapannya kepada soalan bertulis oleh Encik Melvin Yong (Radin Mas) berhubung masa menunggu untuk menerima label letak kereta di bawah Skim Label Tempat Letak Kereta bagi individu kurang upaya fizikal berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, lebih 90 peratus pemohon menerima label mereka dalam masa 15 hari bekerja selepas permohonan dibuat kepada SG Enable.
"Permohonan yang lengkap biasanya diluluskan dalam masa enam hari bekerja, dan pemohon boleh mula menggunakan lot letak kereta yang boleh diakses setelah diluluskan, tanpa menunggu label fizikal," kata MSF.
"Namun begitu, memandangkan pencetakan dan penghantaran label fizikal mengambil masa, SG Enable akan meneroka huraian teknologi untuk melengkapi atau menggantikan label fizikal semasa," tambahnya.