LEBIH dari 7,000 nasihat bertulis telah diberikan kepada orang awam yang didapati melanggar langkah jarak selamat yang diperketat hari Selasa (7 April).
Dalam kenyataannya Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) berkata lebih dari 2,000 Duta Jarak Selamat dan SG Clean serta Pegawai Penguatkuasaan dikerah oleh MEWR dan agensi lain di sekitar kawasan perumahan HDB termasuk pasar, pusat penjaja dan kelab masyarakat.
Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam catatan Facebooknya berkata tindakan lebih tegas akan diambil mulai esok.
“Mulai esok, kita tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan amaran keras tertulis, yang akan membawa kepada denda, kepada mereka yang masih terus berkumpul di tempat awam.
“Ini termasuk mereka yang terus berkumpul di kolong blok, taman permainan atau taman masyarakat, meskipun mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya berbual,” tegas beliau.
Di bawah Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) yang diluluskan di Parlimen pada Selasa, pesalah kali pertama akan dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Bagi pesalah kali kedua atau yang berikutnya, denda sehingga $20,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.