LEBIH 8,000 suntikan vaksin Pfizer-BioNTech Comirnaty bivalen Covid-19 ditadbir Isnin lalu, iaitu hari pertama vaksin baru itu disediakan di sini.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata vaksin baru Pfizer-BioNTech membentuk 60 peratus daripada lebih 13,400 dos vaksin bivalen yang disediakan Isnin lalu.
Baki 40 peratus adalah versi bivalen vaksin Spikevax Moderna.
Vaksin bivalen menyediakan perlindungan terhadap strain asal Sars-CoV-2 virus koronavirus serta sub-varian Omicron.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah memberi kebenaran sementara untuk penggunaan vaksin bivalen Covid-19 Moderna Spikevax pada September, manakala vaksin bivalen Comirnaty Pfizer-BioNTech telah diluluskan pada Oktober.
Vaksin Pfizer-BioNTech boleh diberikan kepada mereka yang berumur 12 tahun dan ke atas, manakala vaksin Moderna pula hanya untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Pengenalan satu lagi vaksin bivalen mungkin dapat menggalak lebih ramai orang untuk mendapatkan suntikan penggalak mereka, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Isnin lalu.
Lebih 386,000 warga di Singapura sudah menerima suntikan vaksin bivalen Covid-19.
Daripada 13,400 suntikan bivalen pada Isnin, 275 telah ditadbir oleh pasukan vaksinasi bergerak di Pusat Jawatankuasa Penduduk Bukit Panjang Zon 3 serta Hong Kah North dan Kelab Masyarakat Leng Kee.
Pasukan-pasukan ini, yang dikerahkan ke kawasan-kawasan perumahan untuk memudahkan warga emas mendapatkan suntikan mereka, akan pergi ke lapan lokasi serata pulau sehingga 12 Januari ini.
Mereka akan dikerahkan di setiap tapak selama tiga hari sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual pasukan tersebut, sila ke laman gowhere.gov.sg.
Sekitar 65 peratus penduduk Singapura yang layak telah mendapatkan vaksinasi Covid-19 mereka hingga Isnin.