Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

Lebih banyak bantuan bagi drebar teksi dan kereta sewa privet jika perlu

Mar 16, 2020 | 05:30 AM

PEMANDU teksi dan kereta sewa privet boleh menjangka lebih banyak bantuan, jika perlu, untuk mengatasi tempoh sukar sekarang dek penularan koronavirus Covid-19.

Berkata demikian, penasihat Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Encik Ang Hin Kee, memberitahu Berita Harian pihaknya sedang bekerja rapat dengan pemerintah dan firma bagi meninjau bantuan yang diperlukan pemandu.

"Malah, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan juga memberi kami jaminan lebih banyak bantuan akan ditawarkan sekiranya perlu. Ini juga ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat baru-baru ini, jika pekerja dan syarikat terus terjejas dek keadaan Covid-19," ujarnya.

Sebelum ini, pemerintah mengumum satu pakej bernilai $77 juta bagi pemandu teksi dan kereta sewa privet yang pendapatan mereka terjejas akibat krisis penularan Covid-19.

Dana itu akan disalurkan ke Pakej Sokongan Dari Tempat Ke Tempat (PPSP) yang dibiayai bersama - $45 juta oleh pemerintah dan baki oleh syarikat teksi dan kereta sewa privet.

Semua penyewa teksi utama dan pemandu kereta sewa privet aktif yang menyelesaikan sekurang-kurangnya 200 perjalanan sebulan dari Oktober hingga Disember lalu layak menerima bantuan $20 sehari selama tiga bulan mulai 14 Februari.

Yang tidak layak boleh meraih faedah daripada dana $2.7 juta yang ditubuh pemerintah dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Selain itu, syarikat pengendali teksi ComfortDelGro memperuntuk $10 juta bagi rebat sewa bagi pemandunya hingga bulan depan. ComfortDelGro berkata rebat sewa $16.50 sehari akan diberi bagi setiap teksi dari 21 Februari hingga akhir Mac dan $10 sehari pada April.

"Dengan rebat terdahulu dan subsidi pemerintah, pemandu ComfortDelGro akan melihat sewa harian dikurangkan sekitar $36.50 hingga akhir Mac, $30 hingga akhir April dan $20 hingga akhir Mei," kata ComfortDelGro.

Namun, ada pemandu mengharapkan lebih banyak bantuan kerana keadaan Covid-19 mungkin berlarutan.

Encik Ang berkata NTA dan NPHVA juga memperkenal usaha lain bagi menyokong pemandu, termasuk membiayai dana latihan dan bantuan kewangan serta mengagih barangan seperti pembersih tangan, pelitup, bahan penyahjangkitan dan termometer untuk membantu pemandu menjaga kesihatan dan mata pencarian.

"Kami akan terus menggembleng sumber untuk terus menyokong pemandu, dengan bantuan daripada pemerintah dan pengendali," ujarnya.

Laporan lanjut: