Penjaja akan diberi bantuan tambahan oleh pemerintah untuk menyertai wadah penghantaran dalam talian sedang lebih ramai orang tinggal di rumah dan tempah makanan di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo berkata ini adalah gaya hidup makan baru yang memberi cabaran kepada penjaja.
Menulis dalam satu catatan pos Facebook pada Sabtu (5 Jun), Cik Teo, yang juga menteri bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, menarik perhatian bahawa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudah menyediakan insentif untuk penjaja yang menyertai wadah penghantaran dalam talian.
Bagi mempercepatkan bantuan, Cik Teo telah meminta Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara, Encik Tan Kiat How supaya menolong penjaja menyertai wadah-wadah itu.
Beliau juga mengalu-alukan sokongan Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Amy Khor, yang akan bekerjasama dengan Encik Tan untuk merekrut rakan kerja yang boleh membawa perubahan digital ini bagi memperbaiki mata pencarian para penjaja.