Subuh
5:31
Syuruk
6:55
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:58
Isyak
8:12
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Search Distance From Your Location = 1 KM
100 M 1 KM
No restaurant found within  from your distance.
Setempat0

Lebih banyak bantuan untuk keluarga berpendapatan rendah

Mar 06, 2020 | 05:30 AM

MULAI Julai ini, keluarga berpendapatan rendah boleh memanfaatkan subsidi lebih tinggi bagi menempatkan anak mereka dalam Pusat Jagaan Pelajar (SCC), umum Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Desmond Lee.

Dalam bahas belanjawan kementeriannya semalam, Encik Lee berkata usaha pemerintah untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai asas yang baik dan kukuh melebihi daripada sekadar menawarkan prasekolah berkualiti.

"Bagi sesetengah ibu bapa, khidmat jagaan pelajar dapat membantu memenuhi jurang dengan menawarkan sekitaran selepas sekolah yang lebih berstruktur dan kondusif," ujar Encik Lee.

Memberikan perincian, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata keluarga yang layak akan menerima sehingga $60 lebih tinggi dalam bentuk subsidi setiap bulan.

Dengan subsidi dipertingkat itu, kos selepas subsidi yang perlu dibayar bagi SCC yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan diturunkan bagi semua penerima skim Bantuan Kewangan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) sebanyak 15 peratus kepada 50 peratus.

Isi keluarga meraih $1,500 atau kurang setiap bulan hanya perlu membayar $5, berbanding $10 sebelum ini.

Selain itu, Dr Faishal juga berkata kriteria pendapatan diperluas agar lebih ramai keluarga dapat meraih manfaat daripadanya.

Kelayakan siling pendapatan isi keluarga bagi SCFA akan dinaikkan daripada $4,000 kepada $4,500 dan siling pendapatan per kapita juga dinaikkan daripada $1,000 kepada $1,125.

Peningkatan ini dijangka memanfaatkan sekitar 9,000 kanak-kanak tahun ini.

"Kami akan terus memantau lanskap jagaan pelajar dan menyemak keperluan SCC seperti yang diperlukan, untuk memastikan ia kekal relevan dan sesuai," kata Dr Faishal.

Ada lebih 400 SCC di sekolah dan masyarakat berdaftar dengan MSF yang layak memanfaatkannya.

Bercakap dalam bahasa Melayu, Dr Faishal memberikan butiran terkini mengenai sektor prasekolah.

Menurutnya kian ramai keluarga Melayu/Islam yang mendaftarkan anak-anak mereka di prasekolah.

Pendaftaran bagi kohort kanak-kanak Melayu/Islam berumur 5 hingga 6 tahun di prasekolah setanding dengan kadar pendaftaran prasekolah bagi kohort golongan usia kanak-kanak yang sama secara keseluruhan.

"Ini satu trend yang menggalakkan. Saya harap lebih ramai lagi ibu bapa Melayu Islam akan mendaftarkan anak-anak mereka di prasekolah supaya anak-anak mereka dapat meraih manfaat pendidikan awal kanak-kanak," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Faishal berkata kerjasama kukuh dengan rangkaian M Kuasa Tiga (M3) telah banyak menyokong pendaftaran prasekolah.

Menurutnya, menerusi Program Pendekatan Prasekolah dengan Yayasan Mendaki, dua pertiga kanak-kanak yang dibantu Mendaki untuk pendaftaran prasekolah kini menghadiri prasekolah secara tetap.

"Kita lebih kukuh jika kita saling membantu dan bersatu padu, bagaikan aur dengan tebing," katanya.

Bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menempatkan anak mereka di prasekolah, Dr Faishal berkata sokongan subsidi diselaraskan di bawah Kelulusan Khas untuk kanak-kanak daripada keluarga yang tinggal di rumah sewa awam atau menerima bantuan ComCare.

"Bermula Ogos ini, keluarga-keluarga ini akan layak menerima subsidi prasekolah yang maksimum, secara automatik sehingga tiba waktu penilaian subsidi yang selanjutnya, tanpa mengira status pekerjaan ibu," katanya lagi.

Di samping itu, program KidStart - yang memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah sebelum kanak-kanak memasuki prasekolah- akan diperluaskan dan memberi manfaat kepada lagi 5,000 kanak-kanak sepanjang tiga tahun akan datang.

Kriteria kelayakan pendapatan isi keluarga di bawah program KidStart ini juga dinaikkan daripada $1,900 kepada $2,500 bermula bulan depan.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) juga akan melantik lebih banyak pengendali rakan kongsi (POP) bagi tempoh lanjutan lagi lima tahun mulai Januari tahun depan.

Had yuran bagi pusat POP juga akan diturunkan mulai penggal depan.

Misalnya, ibu bapa yang meraih gaji $3,000 sebulan, hanya perlu membayar $89 sebulan selepas subsidi dipertingkat berbanding $156 sebelum ini bagi anak mereka yang ditempatkan di pusat POP berkualiti.

Apabila had yuran POP diturunkan pada Januari depan, mereka akan membayar tidak lebih daripada $46.

Subsidi prasekolah bagi keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan juga telah dinaikkan sejak Januari tahun ini.

Siling pendapatan bulanan isi keluarga telah dinaikkan daripada $7,500 kepada $12,000 bagi Subsidi Tambahan.

Dana Peluang Prasekolah juga dilanjutkan bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada aktiviti pembangunan tambahan seperti program drama dan pertuturan.

Jumlah kanak-kanak yang meraih manfaat setiap tahun daripada dana ini meningkat dari sekitar 900 pada 2014 kepada 2,400 pada tahun lalu.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian