LEBIH banyak aktiviti kesihatan akan dijalankan semula untuk anggota kerahan perkhidmatan negara (NSmen) yang telah melalui Tempoh Tamat Perkhidmatan (ORD) mulai Januari depan.
Dari 4 Januari, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menyambung semula latihan persediaan IPPT (IPT) di Pusat Latihan Kecergasan Jasmani (FCC), dan juga IPT-in-the-Park.
Sesi IPT ini akan diadakan di dalam kumpulan kecil dan kapasiti terhad, menurut garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan.
Antara langkah pengurusan keselamatan yang akan dijalankan termasuk mengambil suhu badan, penjarakan fizikal dan juga penggunaan pelitup muka pada setiap masa kecuali semasa melakukan kegiatan fizikal yang berat, menurut Kementerian Pertahanan dalam satu catatan Facebook kelmarin.
Anggota kerahan perkhidmatan negara boleh mula menempah slot IPT mereka bermula 28 Disember melalui portal NS.
Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia masih mengawasi situasi Covid-19 di Singapura dan sedang mengkaji semula langkah-langkah yang diambil demi keselamatan anggota kerahannya.
Sistem IPPT NS juga sedang disemak semula, dan perinciannya akan dikeluarkan setelah disiapkan.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota kerahan kami atas komitmen mereka yang berterusan untuk Perkhidmatan Negara."