Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TRANSFORMASI PERNIAGAAN DI ESTET KEJIRANAN

Lebih banyak perniagaan dakap pendigitalan untuk berdaya saing

Sekitar 88% tawar sekurang-kurangnya satu bentuk kaedah e-pembayaran
Aug 11, 2022 | 05:30 AM



LEBIH banyak perniagaan di estet kejiranan kini mendakap pendigitalan untuk kekal berdaya saing, dengan sekitar 88 peratus, atau lebih 15,000 perusahaan, sehingga Mei lalu menawarkan sekurang-kurangnya satu bentuk kaedah e-pembayaran.



Perniagaan di estet kejiranan itu kini menawarkan kaedah e-pembayaran seperti Fave, Grab, Nets atau PayNow, kata Enterprise Singapore (ESG).



Ini satu peningkatan berbanding 53 peratus pada Oktober 2020, dan 86 peratus pada Mac lalu.



Malah, sekitar 65 peratus, atau lebih 11,000 perniagaan, juga menggunakan huraian perdagangan digital, seperti Carousell, Fave X UOB, Vaniday, Shopback, foodpanda Shop dan Shopee, lapor The Straits Times.



ESG berkata peniaga telah melihat semakin ramai pengguna yang memilih kaedah e-pembayaran, dengan sesetengah pelanggan malah bersedia berbelanja lebih apabila menggunakan e-pembayaran berbanding wang tunai.



Hasilnya, ESG tahun ini menambah vendor e-pembayaran tambahan dengan pelbagai pilihan e-dompet pada programnya untuk membantu kedai-kedai di estet kejiranan menjadi digital.



Hampir 130 peniaga di estet kejiranan juga telah meraih manfaat daripada Program Perdagangan Visual di Estet Kejiranan sehingga bulan lalu.



Program itu, yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, membantu perniagaan di estet kejiranan memberi nafas baru kepada muka kedai mereka, membangunkan keupayaan dalam perdagangan digital dan visual asas, dan membuat bahan-bahan bagi pemasaran di dalam dan luar talian.



Perniagaan yang layak akan menerima sokongan satu kali untuk menampung 80 peratus kos, dihadkan pada $4,000.



Pengarah divisyen perusahaan di estet kejiranan ESG, Encik Joseph Zhang, berkata pihaknya bekerja rapat dengan rakan seperti Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memberikan nafas baru kepada estet kejiranan dan mengubah perusahaan di situ kerana mereka adalah bahagian penting dalam fabrik sosial Singapura.



"Kami menyokong mereka dalam memperolehi kemahiran baru, menjana idea baru, dan mempertingkat proses dan model perniagaan mereka, agar mereka boleh terus memenuhi keperluan dan pilihan berubah pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.



"Ini akan membantu mereka mengembangkan hasil, memacu kecekapan operasi, dan menarik lebih ramai pelanggan," kata beliau.



Antara perniagaan di estet kejiranan yang telah berkembang maju ialah Boon Lay Power Nasi Lemak, yang bermula sebagai gerai nasi lemak di pasaran Boon Lay lebih 50 tahun lalu.



Kini, mereka mempunyai enam cawangan, mempunyai mesin layan diri yang menjual produk mereka dan malah, mempunyai permintaan dalam pasaran luar negara.



Pengurus Boon Lay Power, Encik Farhan Hamzah, berkata setiap enam cawangan mereka itu menawarkan kaedah e-pembayaran kerana ingin memberi pilihan kepada pelanggan dan disebabkan "kebanyakan mereka hari ini akan bertanya sama ada kami ada e-pembayaran".



Pemilik Lina Satay Club, Encik Mohd Fadlin Osman, pula akan beralih kepada model perniagaan dapur pusat untuk menawarkan khidmat penghantaran makanan kepada pelanggannya.



Sebelum ini, mereka mempunyai restoran di mana orang ramai dapat menjamu selera secara fizikal.



"Memandangkan lebih daripada 60 peratus pelanggan kami menikmati sate melalui khidmat penghantaran makanan, kami rasa ini adalah tanda bagi kami memberi tumpuan kepada khidmat tersebut.



"Sekiranya terdapat permintaan yang terus meningkat setelah melancarkan dapur pusat ini pada September nanti, kami mungkin akan melakukan penyelidikan selanjutnya untuk mengembangkan perniagaan ini," kata Encik Fadlin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >