Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih banyak pilihan beri peluang pengguna elektrik berjimat

Mar 25, 2018 | 05:30 AM



Pasaran tenaga elektrik Singapura akan dibuka secara berperingkat bermula 1 April ini, dengan 14 syarikat menawarkan bekalan, lantas memberi pilihan yang lebih luas kepada keluarga dan pemilik perniagaan kecil. Namun, apakah manfaat atau perkara yang perlu diketahui pengguna? NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) melaporkan.



KURANG seminggu sebelum pasaran tenaga elektrik dibuka, Encik Muhammad Imran Salleh berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada hendak beralih kepada pembekal elektrik baru ataupun tidak.



Namun, kata Encik Imran, 38 tahun, seorang penyelia dalam sektor petrokimia, harga dan keandalan bekalan tenaga elektrik merupakan faktor utama yang boleh mendorongnya berbuat demikian.



Pendapat Encik Imran itu mencerminkan pandangan beberapa lagi penduduk yang dihubungi akhbar ini berhubung perkembangaan terbaru dalam pasaran tenaga elektrik negara ini.



Bermula 1 April ini, sejumlah 108,000 keluarga dan 9,500 perniagaan di kawasan Jurong boleh memilih antara pakej elektrik yang ditawarkan 14 pembekal, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dalam kenyataannya baru-baru.



Pilihan ini akan dibuka kepada seluruh Singapura - sekitar 1.3 juta pelanggan, kebanyakannya keluarga - pada separuh kedua tahun ini.



"Pelancaran kecil Pasaran Elektrik Terbuka ini akan memberikan pengguna lebih banyak pilihan dan kelonggaran dalam membeli tenaga elektrik," kata jurucakap EMA yang berkata EMA, SP Group dan pembekal juga akan menggunakan kesempatan ini untuk mengumpul maklum balas dan memperhalusi proses, jika perlu, sebelum ia (pasaran terbuka) dilanjutkan kepada seluruh Singapura.



Keluarga dan pemilik perniagaan yang memilih tidak beralih kepada pembekal elektrik baru boleh terus membeli tenaga elektrik daripada SP Group, dengan tarif yang terkawal atau yang ditetapkan setiap tiga bulan.



Menurut jurucakap EMA, bekalan elektrik kepada semua pengguna akan kekal andal kerana grid kuasa elektrik nasional - yang digunakan untuk menyalur tenaga elektrik daripada loji penjanaan elektrik kepada pengguna - akan tetap dikendalikan oleh SP Group.



BOLEH BERJIMAT?



Mengikut maklumat di laman www.spgroup.com.sg, tarif elektrik yang dikenakan antara 1 Januari dengan 31 Mac tahun ini ialah 21.56 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh).



Secara purata, sebuah keluarga yang tinggal di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menggunakan 336 kWh tenaga elektrik.



Ini bermakna, keluarga itu boleh menjangka bil elektrik sekitar $72 sebulan.



Secara perbandingan, 14 pembekal elektrik 'baru' ini, akan menawarkan tiga pakej bekalan elektrik - tarif tetap, diskaun bagi tarif terkawal dan tarif waktu puncak dan di luar waktu puncak - masing-masing dengan harga yang berbeza.



Sebagai contoh, berdasarkan maklumat daripada laman www. openelectricitymarket.sg, tarif elektrik tetap yang dikenakan pembekal ini adalah antara 16.50 sen dengan 19.98 sen bagi setiap kWh, bagi kontrak langganan setahun atau dua tahun.



Ini bermakna keluarga yang sama boleh menjangka membayar bil elektrik antara sekitar $55 dengan $67 sebulan.



Keluarga yang memilih pakej diskaun bagi tarif terkawal boleh menjangka bil elektrik antara sekitar $55 dengan $68 sebulan selepas menikmati diskaun antara 23 peratus dengan 5 peratus, bagi tempoh langganan antara enam bulan dengan 24 bulan.



Mereka juga boleh memilih membayar dua harga berbeza apabila menggunakan elektrik pada masa puncak atau di luar masa puncak.



Lima pembekal elektrik menawarkan pakej sebegini.



Sebagai contoh, pembekal I Switch Pte Ltd menawarkan elektrik pada harga 19.80 sen bagi setiap kWh antara 7 pagi dengan 11 malam dan 18.50 sen bagi setiap kWh antara 11 malam dengan 7 pagi, bagi setiap langganan 24 bulan.



Bil elektrik bulanan yang lebih rendah merupakan tarikan besar untuk beralih kepada pembekal elektrik baru, kata Encik Imran, yang tinggal bersama kededua orang tuanya di flat lima bilik HDB di Jurong West.



"Saya tidak begitu bimbang tentang keandalan bekalan elektrik... tapi saya berminat beralih kerana boleh berjimat.



"Jika saya boleh berjimat dengan beralih kepada pembekal baru, mengapa tidak?" katanya.



EMA membuka pasaran elektrik secara berperingkat sejak 2001, dengan tujuan menggalak persaingan dan menawarkan pelanggan lebih banyak pilihan dan kelonggaran apabila membeli tenaga elektrik, kata jurucakapnya.



Sejak Disember 2017, sekitar 93,800 pelanggan komersial dan industri - yang mewakili sekitar 84 peratus permintaan tenaga elektrik di Singapura - layak membeli elektrik daripada pembekal pilihan mereka.



Antara pelanggan korporat yang memanfaatkan pasaran tenaga elektrik terbuka ini ialah Angkatan Karyawan Islam (AMP).



Menurut pengurus urusan bangunan di AMP, Encik Sarjono Salleh Khan, AMP beralih daripada SP Power kepada Sembcorp Power sejak 2004.



"Sebagai pelanggan korporat jangka panjang, kami ditawarkan harga pakej elektrik yang kompetitif, antara sebab kami terus memperbaharui kontrak dengan mereka sejak 14 tahun lalu," kata Encik Sarjono.



TERLALU BANYAK PILIHAN?



Namun, pilihan yang lebih luas mungkin boleh menimbulkan beberapa kerumitan, terutama pada tempoh awal.



Seorang penduduk Jurong, yang ingin dikenali sebagai Encik Ahmad, berkata walaupun beliau gembira kerana berpeluang berjimat, beliau bimbang menjadi keliru kerana terlalu banyak pilihan yang ditawarkan.



Bercakap kepada akhbar The Straits Times, Dr Sanjay Kuttan, pengarah program di Institut Kajian Tenaga di Universiti Teknologi Nanyang, berkata memang ada terlalu banyak pembekal, tetapi beliau menjangka jumlah ini akan berkurangan pada masa depan.



Menambah, Dr Kuttan berkata pelanggan merupakan pemenang sebenar perkembangan ini kerana mereka hanya perlu mengenal pasti pembekal yang menawarkan tenaga elektrik yang paling sepadan dengan keperluan mereka.



Menurut EMA, ia akan memempertingkat usaha mendidik pelanggan di Jurong bermula 1 April ini.



Ini termasuk menerangkan tentang pilihan yang kini dimiliki mereka dan bagaimana keandalan bekalan tenaga elektrik tidak akan berubah jika mereka beralih kepada pembekal baru.



Menurut EMA, ia akan mengadakan pameran bergerak yang melibatkan semua 14 pembekal pada 21 dan 22 April ini di Pusat Beli-Belah Westgate.



Bermula minggu lalu, pengguna yang terjejas juga menerima risalah maklumat berhubung perubahan ini.



Keterangan lanjut mengenai pasaran tenaga elektrik terbuka boleh diperoleh di laman www.openelectricitymarket.sg atau dengan menghubungi talian 1800-233-8000.




TIGA PAKEJ ELEKTRIK BARU BERMULA 1 APRIL



TARIF TETAP



  • Pengguna membayar harga tetap (contohnya, 20 sen setiap kWh) sepanjang tempoh langganan antara 12 bulan dengan 24 bulan.

DISKAUN TARIF TERKAWAL



  • Pengguna menikmati diskaun berdasarkan tarif terkawal yang disemak dan ditentukan setiap tiga bulan oleh SP Group dengan kebenaran Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

    Bagi tempoh permulaan ini, diskaun yang diberikan antara 5 peratus dengan 23 peratus tarif terkawal.

WAKTU PUNCAK DAN LUAR WAKTU PUNCAK



  • Pengguna ditawar dua harga berbeza bagi dua tempoh penggunaan - ocntohnya, pada waktu puncak dari 7 pagi hingga 11 malam dan di luar waktu puncak dari 11 malam hingga 7 pagi.

* Pembekal juga boleh memberikan tawaran tambahan dan produk lain sebagai sebahagian daripada pakej mereka.



Sumber: EMA



 



Meter Bijak



KELUARGA yang memilih membeli tenaga elektrik daripada pembekal diberi pilihan memasang meter bijak di rumah masing-masing.



Kos pemasangan meter bijak ini perlu ditanggung pengguna.



Meter bijak ini membolehkan penggunaan elektrik keluarga itu diambil setiap setengah jam.



Sebaliknya, keluarga boleh memilih tidak memasang meter bijak dan terus menggunakan meter elektrik sedia ada.



Kiraan meter ini akan diambil setiap dua bulan.



PERLUKAH SAYA MEMILIH METER BIJAK?



Bagi pengguna yang memilih pakej elektrik harga berubah - berdasarkan waktu pengunaan - penggunaan meter bijak membolehkan mereka mengukur penggunaan sebenar sepanjang hari.



Penggunaan elektrik juga boleh ditentukan dengan menggunakan anggaran 'profil beban'.



Profil beban ini menganggarkan penggunaan elektrik harian berdasarkan corak penggunaan biasa keluarga di Singapura.



Sumber: EMA







Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >