BANYAK kerja yang perlu dilakukan dengan segera bagi memahami varian koronavirus yang baru, menurut Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Ia menambah meskipun varian Omicron baru wujud, ia harus dapat dikenal pasti melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).
"Terdapat banyak kerja-kerja yang harus dilakukan dengan segera bagi memahami varian ini termasuk jangkitannya, diagnostik, manifestasi klinikal, seteruk mana penyakit itu, imuniti dari vaksin,'' kata jurucakap NCID kepada The Straits Times (ST).
Jurucakap itu menambah apa jua kes positif harus dikenal pasti menerusi ujian yang dilakukan ketika ini.
Beliau menambah NCID akan terus memantau dan bekerja sama dengan peringkat sejagat bagi memahami varian baru itu.
Omicron atau varian koronavirus B.1.1.529 dianggap sebagai varian yang membimbangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.
Ia dianggap lebih mudah berjangkit, setelah virus itu pertama kali ditemui di Afrika Selatan pada 11 November.
Ia juga telah ditemui di Botswana dan Hong Kong.
Singapura dan banyak negara lain telah mengetatkan sempadan dari negara-negara selatan Afrika disebabkan virus itu.