Lebih ramai ditangkap di S’pura kerana edar dadah

LEBIH ramai pesalah ditangkap di Singapura kerana mengedar dadah berdasarkan perangkaan yang menunjukkan kenaikan 11 peratus dalam tempoh empat tahun lalu. 

Mendedahkan perangkaan jenayah tersebut buat julung kalinya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata jumlah pengedar dadah yang ditangkap di sini telah meningkat kepada 712 tahun lalu berbanding 638 pada 2014. 

Situasi dadah di seluruh dunia bertambah teruk sejak kebelakangan ini dan Singapura, yang terkenal dengan perundangan anti-dadah yang ketat, tidak terkecuali. 

Menurut pakar, jumlah pengedar dadah yang lebih tinggi tidak bermakna usaha anti-dadah di Singapura, termasuk hukuman mati, tidak berkesan dalam mencegah masalah ini. 

“Jangkaan seperti itu tidak boleh dibuat hanya berdasarkan perangkaan ini,” menurut peguam Sunil Sudheesan, sambil menambah permintaan yang semakin meningkat serta usaha penguatkuasaan turut memainkan peranan. 

Kementerian tersebut berkata terdapat peningkatan dalam jumlah pesalah asing yang diberkas. 

Tahun lalu, seramai 217 warga asing diberkas kerana mengedar dadah, berbanding 127 pada 2014. 

Sementara itu, jumlah warga Singapura dan penduduk tetap yang diberkas turun sekitar 3 peratus ke 495 tahun lalu berbanding 511 pada 2014.