Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih ramai pelajar aliran Normal lanjut pengajian di peringkat diploma, ijazah

Dec 18, 2018 | 05:30 AM



LEBIH ramai pelajar daripada aliran Normal di sekolah menengah layak meneruskan pembelajaran ke peringkat tinggi dalam tempoh 10 tahun lalu.



Perangkaan baru dari Kementerian Pendidikan (MOE) menunjukkan bahawa lebih daripada 10 peratus pelajar menengah satu aliran Normal (Akademik) mara ke universiti awam, meningkat daripada lima peratus 10 tahun lalu.



Bagi mereka yang berada di aliran Normal (Teknikal), yang dikhaskan bagi pelajar yang lemah secara akademik, lebih daripada 20 peratus telah meneruskan pembelajaran sekurang-kurangnya ke kursus diploma di politeknik, meningkat daripada 15 peratus setahun lalu.



Dalam memberikan respons kepada akhbar The Sunday Times, MOE berkata menempatkan pelajar dalam aliran tertentu dapat membantu mereka belajar mengikut rentak yang sesuai dengan pendekatan mengajar dan belajar yang khusus.



Ini menunjukkan hasil pendidikan yang lebih baik dan kurang jumlah pelajar tercicir dengan lebih 96 peratus daripada kohort darjah satu meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat posmenengah kini, menurut jurucakap MOE.



Ramai pemerhati dan pendidik berkata bahawa kaedah menempatkan pelajar dalam aliran khusus, yang telah dilakukan berabad lamanya di Singapura, telah memberi manfaat kepada pelajar, namun masalahnya terletak pada stigma sosial berkaitan pelajar dalam aliran Normal.



Pensyarah ekonomik di Universiti Nasional Singapura (NUS) Kelvin Seah berkata langkah ini membantu guru membentuk kurikulum berdasarkan keperluan pelajar.



"Kelas yang mempunyai kebolehan yang serupa biasanya lebih mudah diajar dan diurus kerana pelajar mempunyai keperluan yang serupa dari segi rentak pembelajaran dan stimulasi."



Setiap tahun, lebih daripada 60 peratus kohort darjah enam layak untuk ke aliran Express, manakala 20 peratus yang lain layak ke aliran Normal (Akademik) dan 10 peratus yang lain meneruskan pembelajaran ke aliran Normal (Teknikal).



Namun, masih wujud keprihatinan tentang kesan mengkategori pelajar berdasarkan keupayaan akademik pada usia yang muda.



Menurut perangkaan MOE, pelajar aliran Normal masih membentuk minoriti dalam institusi pendidikan.



Lima dalam setiap 100 pelajar yang lulus dari politeknik antara 2015 dengan tahun lalu tergolong dalam aliran Normal (Teknikal).



Hanya satu dalam setiap 100 berjaya mendapatkan ijazah dari universiti awam.



Pelajar daripada aliran Normal (Akademik) membentuk 35 peratus daripada pelajar yang berjaya menadapatkan diploma, dan lima peratus pelajar yang berjaya mendapatkan ijazah.



Peratusan yang lain terdiri daripada pelajar daripada aliran Express.



Di Institut Pendidikan Teknikal pula, hampir separuh pelajarnya terdiri daripada pelajar Normal (Teknikal), 45 peratus dari Normal (Akademik) dan segolongan kecil daripada aliran Express.



Dr Seah berkata 'streaming' yang dilakukan dalam kehidupan awal pelajar boleh menambah kekurangan mereka.



"Contohnya, kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan sering dimasukkan ke aliran yang kurang akademik seperti Normal (Teknikal) kerana mereka mungkin tidak mendapat keputusan yang baik dalam PSLE, disebabkan kurangnya pendedahan kepada buku-buku dalam kehidupan awal mereka," katanya, merujuk kepada Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).



"Ini bermakna, akibatnya, mereka akan menghadapi kesukaran melayakkan diri ke pendidikan tinggi seterusnya," katanya.



Menurut MOE, sekitar lapan hingga 10 peratus daripada pelajar Normal (Teknikal) berpindah ke Normal (Akademik) dan sekitar lima peratus daripada Normal (Akademik) berpindah ke aliran Express.



Jurucakap MOE berkata:



"Bertentangan dengan salah tanggapan bahawa aliran di peringkat sekolah menengah menghadkan perkembangan akademik kumpulan pelajar tertentu, bukti menunjukkan bahawa sebahagian besar pelajar sebenarnya dapat meneruskan pendidikan posmenengah dan perkembangan mereka tidak terhad oleh aliran dari mana mereka bermula."



Encik Pawandeep Singh Sekhon, lulusan Politeknik Nanyang, merupakan salah seorang pelajar yang berjaya berpindah aliran dengan bekerja keras.



Encik Pawandeep, anak kepada pemandu teksi dan jururawat, ditempatkan dalam aliran Normal (Teknikal) di Sekolah Menengah Punggol dengan mata PSLE 150.



Terkejut dan kecewa, beliau mendorong dirinya sendiri untuk bekerja keras dan dipindahkan ke kelas Normal (Akademik) setahun kemudian.



Beliau yang tinggal di flat di Sengkang, meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan peringkat GCE 'O' dan berjaya meneruskan pelajaran ke politeknik, di mana beliau menemui minatnya dalam bidang teknologi maklumat, dan telah meraih gred 4, gred yang tertinggi di politeknik.



"Saya rasa jika anda mempunyai minat dalam sesuatu, anda ingin menimba ilmu tentangnya sebanyak mungkin," katanya. "Gred ini hanya menunjukkan kerja keras anda."



Encik Singh, yang mempunyai seorang adik, telah mendapat tempat dalam kursus sains komputer di NUS pada 2020 selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Beliau mempunyai impian besar untuk memulakan syarikat teknologinya sendiri.



"Dari mana anda berasal tidak penting, yang penting adalah apa yang anda mampu capai," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >