Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih ramai penjejak kontak diperlukan di S'pura apabila kes Covid-19 bertambah

Jun 20, 2021 | 12:24 PM



KUMPULAN penjejak kontak di Kementerian Kesihatan (MOH) sudah meningkat dari 300 hingga 500 orang bagi menangani tambahan pada kes Covid-19 sedang varian virus lebih mudah menjangkiti mula timbul.



MOH mengatakan penting bagi kontak rapat pesakit yang dijangkiti dikenal pasti segera dan diasingkan agar penyebaran lanjut koronavirus dapat dikekang dan dibasmi.



Sebahagian besar tenaga kerja baru di pusat jejak kontak MOH adalah daripada Pasukan Bersenjata Singapura (SAF) yang menugaskan sekitar 160 individu, lapor akhbar The Straits Times.



Secara berasingan, polis mendapatkan khidmat kontrak tiga pertubuhan dalam tender bernilai $327,000 yang ditawarkan bulan lalu bagi menyediakan tenaga kerja sokongan.



Butiran terperinci tidak dapat diperolehi daripada pihak polis tetapi dipercayai tahun lalu, tender serupa juga dibuka. Polis membantu dalam usaha menjejak kontak di sini sejak tahun lalu.



Profesor Vernon Lee, yang mengetuai pusat jejak kontak MOH, memberitahu The Straits Times, bilangan 500 penjejak kontak kini masih berkurangan daripada tempoh tertinggi sewaktu pemutus rantaian jangkitan Covid-19 berlangsung selama dua bulan pada April tahun lalu.



Pada suatu masa dahulu, pusat ini mempunyai sekitar 1,000 orang untuk menangani bilangan harian kes virus baru yang bertambah dan boleh mengatasi 1,000 kes bagi beberapa hari.



Sebagai perbandingan, kes harian baru bagi dua bulan sebelum ini jarang-jarang bertambah melebihi 50 kes.



Tambahan kes baru-baru ini membuatkan pemerintah pada bulan lalu mengenalkan langkah keselamatan tambahan, lantas mengembalikan Singapura kepada Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) daripada Fasa 3 pembukaan semula ekonomi negara.



Tambahan tahun ini lebih kecil daripada tahun lalu tetapi proses jejak kontak telah bertambah dari segi isipadunya.



"Setiap kes kini lebih kompleks kerana adanya lebih banyak data," jelas Profesor Lee.



Ini termasuk data TraceTogether yang secara automatik memberi log kontak rapat pesakit Covid-19.



Lebih 90 peratus penduduk sama ada menggunakan aplikasi atau token TraceTogether.



Ini bererti lebih banyak sumber diperlukan bagi menganalisa data tetapi penjejak kontak kini bekerja lebih bijak lagi dengan penggunaan lebih banyak peralatan analisis data, jelas Profesor Lee.



Peralatan geospatial, sebagai contoh, membantu mencari kaitan berpotensi antara kes menerusi lokasi mereka. Peralatan sebegini dilaporkan membantu pihak berkuasa menentukan sama ada pasar basah Bukit Merah View menjadi sumber kebanyakan jangkitan terkini.



Berbanding tahun lalu, kontak rapat harus dengan cepat ditemui kerana lebih banyak varian Covid-19 yang mudah menjangkiti, kata Profesor Lee.



Ujian juga dikendalikan secara bersasaran agar dapat membantu penjejak kontak langsung menjurus ke arah kes yang disyaki secara lebih cepat. Sebagai contoh, mereka di blok HDB, kedai dan pasar di mana kes timbul sudah diuji.



"Dengan semua peralatan ini, kami mampu mengenal pasti kes, menguji mereka dengan lebih cepat dan mengekang jangkitan. Kami berasakan kami tidak perlu melalui tempoh pemutus rantaian jangkitan kerana kami dapat mengawal bilangan kes hanya sebelum Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dimulakan," kata Profesor Lee.



Penjejak kontak, Encik Faris Abdul Wahab, 50 tahun, berkata data dari TraceTogether membantu mengisi kekosongan kerana lebih ramai orang menggunakan sistem itu tetapi beliau masih perlu mengesahkan maklumat itu dengan kes yang ada.



Apabila Encik Faris menghubungi kontak ini, sentuhan kemanusiaan amat diperlukan.



Beliau yang sebelum ini merupakan pramugara Singapore Airlines berkata isu komunikasi adalah antara cabaran terbesar.



"Orang ramai boleh bersikap tidak memberikan kerjasama, agresif dan menggunakan bahasa kesat di telefon. Sesetengahnya, seperti pekerja migran pula tidak mampu bertutur bahasa Inggeris secara fasih. Kami cuba untuk bersabar," jelasnya.



Menurutnya lagi, mereka perlu bertanya soalan dalam cara berbeza bagi mendapatkan jawapan dengan kebanyakannya memberikan kerjasama.



MOH menjelaskan pesakit boleh mendapatkan pengesahan identiti penjejak kontak dengan mengambil butiran nombor talian telefonnya dan menghubungi talian hotline MOH di 1800-333-9999 dengan memberikan nombor pemanggil yang mengatakan beliau penjejak kontak itu.



Ia menambah, penjejak kontak tidak akan bertanyakan butiran kewangan apabila menjalankan proses menjejak kontak atau mendedahkan maklumat kes yang disahkan.



Ia juga tidak akan meminta pesakit mendapatkan dokumen daripada MOH kecuali wujud urusan yang sedia ada dengan kementerian itu.



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >