Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih ramai sumbang baucar Teroka Semula S'pura di ambang tarikh akhir skim

Dec 30, 2021 | 12:37 AM



BEBERAPA platform tempahan khidmat dan penerima bantuan melihat lonjakan sumbangan Baucar Teroka Semula Singapura (SRV) sedang skim ini menutup tirainya pada Jumaat (31 Disember)



Skim SRV bernilai $320 juta ini dilancarkan pada Disember tahun lalu untuk membantu sektor pelancongan yang teruk terkena tamparan pandemik Covid-19. Di bawah skim ini, setiap warga Singapura berusia 18 tahun ke atas diberi kredit bernilai $100 untuk berbelanja di daya tarikan setempat, hotel dan juga sesi jelajah kota.



Ia sepatutnya berakhir Jun tahun ini tetapi dilanjutkan hingga 31 Disember.



Lembaga Pelancongan Singapura (STB) kemudian berkata warga Singapura masih boleh menggunakan baucar tersebut hingga 31 Mac tahun depan, asal sahaja mereka membuat tempahan sebelum Jumaat.



Sejak skim ini dilancarkan, beberapa pertubuhan dan platform tempahan telah bekerjasama untuk membantu warga Singapura menyumbang baucar mereka kepada golongan memerlukan.



Perusahaan sosial yang menyokong keperluan pekerja migran, ItsRainingRaincoats (IRR),  telah melihat peningkatan lebih seganda SRV yang didermakan bulan ini.



Pemimpin sukarelawan di IRR, Cik Jocelyn Lim, berkata pihaknya menerima 2,100 tiket ke daya tarikan setempat bulan ini, satu peningkatan daripada 800 tiket bulan lalu.



Katanya kepada akhbar The Straits Times: "Saya kian menerima lebih banyak panggilan bulan ini daripada orang yang bertanya kepada saya bagaimana mereka dapat menyumbang baucar mereka kepada pekerja migran, dan saya menjangkakan lebih banyak panggilan yang akan diterima."



Di bawah inisiatif antara platform tempahan Klook dan Singapore Flyer, warga Singapura boleh membeli tiket bagi daya tarikan itu pada harga $35 buat seorang pekerja migran, menerusi Klook.



Bagi setiap tiga tiket yang disumbangkan, Singapore Flyer akan menyumbang dua tiket.



Cik Lim berkata: "Pekerja migran ini menikmati pengalaman yang dilalui sepenuhnya dan ini adalah pengalaman kali pertama buat kebanyakan daripada mereka. Sesetengahnya tidak dapat meraih pendapatan $35 sehari pun, justeru tidak mungkin mereka mahu membelanjakan wang sebanyak itu untuk ke tempat tarikan pelancong."



Ketua Pengumpulan Dana dan Kerjasama di badan amal Free Food For All, Cik Ezzati Azmi, berkata pihaknya telah mengatasi jangkaan hampir seganda sejak ia mula menerima sumbangan SRV bulan lalu.



Badan amal yang bekerjasama dengan Klook ini telah menerima sekitar 1,840 tiket bagi pelbagai daya tarikan seperti muzium lilin Madame Tussauds Singapore dan pengalaman simulasi terjun udara iFly. Matlamat asal badan ini adalah meraih 1,000 tiket.



"Kami berharap ini akan mencetus inspirasi buat warga Singapura untuk terus tampil membantu bagi mewujudkan pengalaman yang payah dilupakan oleh penerima bantuan kami," jelas Cik Ezzati sambil menambah tiket itu dapat dimanfaatkan lebih 250 keluarga kurang bernasib baik.



Perusahaan sosial Corporate Alliance For Good juga melihat sekitar 1,180 sumbangan baucar bulan ini, satu peningkatan daripada sekitar 17 baucar pada September apabila ia mula menerima sumbangan orang ramai.



Pengerusi Png Bee Hin menyifatkan tambahan itu adalah kerana usaha perusahaan itu mendekati orang ramai dan juga tarikh akhir tempahan perlu dibuat.



Platform tempahan juga melihat lebih banyak sumbangan menerusi laman mereka menjelang hujung tahun ini.



Klook berkata ia telah melihat lebih ramai warga Singapura menyumbang SRV mereka manakala Traveloka pula berkata ia melihat tambahan yang ketara pada jumlah sumbangan SRV bulan ini.



Seorang jurucakap Trip.com berkata ia telah melihat kecenderungan yang ketara kuatnya terhadap penerima bantuan dalam minggu-minggu terkini, yang mungkin berpunca daripada musim perayaan hujung tahun dan tarikh akhir penggunaan SRV.



STB berkata pada Rabu (29 Disember), terdapat tambahan pada tempahan SRV bulan ini.



Ia menambah bahawa mereka yang ingin menyumbang baucar harus berbuat demikian menjelang Jumaat ini. Sumbangan boleh dibuat menerusi kaunter tempahan fizikal atau menerusi platform tempahan yang sah seperti Klook, Traveloka atau Trip.com.



Sehingga 1 Disember, sekitar 1.4 juta warga Singapura telah menggunakan SRV mereka sekurang-kurangnya sekali. Lebih 1.6 juta lagi dijangka berbuat demikian menjelang hujung tahun ini.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >