SEBUAH "Mammobus" dengan peralatan memeriksa barah buah dada telah melihat lebih ramai wanita diperiksa buat kali pertama.
Bilangan wanita yang menjalani pemeriksaan kali pertama naik dari 925 pada 2017 ke hampir 2,000 tahun lalu, apabila program Mammobus Masyarakat itu dilancarkan.
National Healthcare Group Diagnostics (NHGD), Yayasan Barah Buah Dada dan Persatuan Barah Singapura, yang bekerjasama bagi program ini, berkata lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan, kerana ia kini "lebih dimampui dan mudah didapati".
Mereka telah melanjutkan program itu selama setahun lagi dan ia kini akan berakhir Januari depan.
Hari ini (17 Mac) bas itu mengunjungi Kelab Masyarakat Punggol 21 di mana lebih 40 wanita telah mendaftar untuk menjalani pemeriksaan.
Sekitar 30 daripada mereka adalah wanita yang menjalani pemeriksaan kali pertama.
Warga Singapura yang menjalani pemeriksaan buat kali pertama tidak perlu membayar apa-apa manakala pemeriksaan berulang berharga $10.
Program itu juga dibuka kepada penduduk tetap (PR) dan warga asing, namun mereka akan dikenakan bayaran lebih tinggi.
Tiada perbezaan antara pemeriksaan bas dan yang dijalankan di poliklinik, yang berharga $50.