Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CATATAN WARTAWAN

Lega, terharu pengorbanan kecil tidak dilupakan

Generasi Merdeka pasti hargai pengorbanan diakui
Aug 22, 2018 | 05:30 AM



Dalam Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang pengorbanan dan sumbangan warga yang dilahirkan pada 1950-an dan mengumumkan inisiatif pemerintah mengiktiraf jasa Generasi Merdeka. BERITA HARIAN memaparkan catatan wartawan BH yang tergolong dalam generasi tersebut dan menemubual dua warga Generasi Merdeka.



APABILA sudah masuk usia senja, jaga makan, bersenam. Kalau sakit susah. Belanja tinggi.



Pesanan ini kerap singgah di cuping telinga oleh kenalan yang lebih dahulu melangkah ke angka besar 60 tahun - ada yang masih bekerja, dan ramai yang telah bersara... dan ada masalah penyakit. Pesanan itu mungkin berdasarkan pengalaman atau dipalit kebimbangan.



Ancaman penyakit - darah tinggi, kencing manis dan kolestoral tinggi - memang semakin mengintai menjelang usia senja.



Walau ada simpanan, Medisave dan Medishield, ia belum tentu cukup.



Penyakit tiga serangkai itu, kalau hinggap, boleh timbulkan masalah seperti jantung, buah pinggang dan sebagainya. Ia bukan sahaja menyusahkan pergerakan, malah nikmat makan dan mutu kehidupan terjejas. Simpanan untuk masa tua, jika ada, juga boleh cepat susut.



Maka itu, kira-kira 500,000 orang yang lahir dalam 1950-an, termasuk saya, boleh tersenyum mendengar Rapat Hari Kebangsaan kali ini.



Golongan yang digelar Generasi Merdeka ini bakal mendapat bantuan penjagaan kesihatan dalam bentuk subsidi bagi rawatan pesakit luar, tokokan Medisave, subsidi premium MediShield Hayat dan bayaran bagi penjagaan jangka panjang.



Pakej yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong itu serupa dengan pakej yang diberikan kepada generasi perintis yang lahir pada 1949 atau lebih awal, tetapi nilainya tidak sama.



Walau butirnya hanya akan diketahui pada tahun depan, pengumuman itu membawa keceriaan dan mengurangkan kebimbangan.



Lebih membahagiakan ialah sebab yang mengiringi pakej itu: sebagai penghargaan kepada generasi Merdeka membangunkan negara.



Memang generasi ini pernah melalui hidup dalam keadaan kacau-bilau antara 1950-an dengan awal 1960-an - era Singapura mencapai kemerdekaan daripada Britain, memperolehi pemerintahan sendiri pada 1959, bergabung dengan Malaysia pada 1963, sebelum berpisah dua tahun kemudian dan mencapai kemerdekaan pada 1965.



Walau tidak semua daripada golongan ini membuat sumbangan besar kerana baru berusia antara lima dengan 15 tahun pada 1965, tahun-tahun pembangunan itu membentangkan pengalaman yang membentuk diri.



Mereka melihat kepayahan orang tua mereka mengharungi zaman berliku penuh cabaran, berusaha dan berkorban, menyahut tanggungjawab dan bekerjasama dengan pemimpin mereka dan menjadi dewasa dan matang dalam membina kehidupan.



Hidup ketika itu juga mencabar - keluarga besar dan kerja susah. Gaji pula kecil.



Melihat budak menjaja kuih di kampung bagi membantu mencari pendapatan keluarga adalah pandangan biasa.



Sebahagian daripada mereka tidak dapat meneruskan sekolah, dan awal memasuki alam pekerjaan demi membantu menyara hidup keluarga.



Sebahagian penduduk kampung berkongsi pili air dan malah ada kampung yang bergantung pada air perigi.



Mereka yang tinggal jauh dalam kampung pula terpaksa membetis keluar kampung untuk ambil bas - tanpa hawa dingin dan kerap sesak pada waktu sibuk hingga bergayut di pintu bas.



Musim hujan timbulkan cabaran kerana banyak kampung sering dilanda banjir.



Banyak istilah timbul menggambarkan kehidupan. Antaranya 'Minah kilang' kerana ramai wanita bekerja di kilang pengeluaran.



Dalam kepayahan hidup, sebahagian mengikuti kelas untuk pelajar dewasa pada sebelah malam bagi mempertingkat diri.



Era itu juga memperlihatkan sebahagian kaum lelaki generasi ini menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Generasi ini mematuhi pelbagai kempen dan menyahut pelbagai seruan pemimpin membina negara.



Perlahan-lahan keadaan berubah, gaji bertambah dan kehidupan menjadi lebih baik.



Namun, perjuangan dan pengorbanan golongan ini tidak dilupakan.



Tidak seperti kacang lupakan kulit, Encik Lee berkata: "Saya rasa kita terhutang budi kepada mereka."



Dan ini diterjemahkan dalam bentuk pakej bantuan penjagaan kesihatan.



Syukur.



Kita akur bahawa kesihatan adalah antara aset paling berharga dalam kehidupan, terutama pada usia senja.



Selagi tubuh sihat, pakej bantuan itu mungkin tidak diperlukan.



Namun, pakej itu tetap bermakna dan menjadi jaringan keselamatan.




"Memang generasi ini (Generasi Merdeka) pernah melalui hidup dalam keadaan kacau-bilau antara 1950-an dengan awal 1960-an - era Singapura mencapai kemerdekaan daripada Britain, memperolehi pemerintahan sendiri pada 1959, bergabung dengan Malaysia pada 1963, sebelum berpisah dua tahun kemudian dan mencapai kemerdekaan pada 1965. Walau tidak semua daripada golongan ini membuat sumbangan besar kerana baru berusia antara lima dengan 15 tahun pada 1965, tahun-tahun pembangunan itu membentangkan pengalaman yang membentuk diri."
- Penulis




PENGORBANAN GENERASI MERDEKA



"Kumpulan ini yang lahir pada tahun 1950-an adalah Generasi Merdeka. Terdapat 500,000 generasi Generasi Merdeka hari ini. Saya bangga menjadi salah seorang daripada mereka.



Setelah menjalani pertarungan dan pergolakan perjuangan mencapai Kemerdekaan, dan melihat bagaimana ibu bapa mereka bersusah payah untuk (membesarkan) mereka. Apabila Generasi Merdeka membesar, naluri mereka memahami apa yang dipertaruhkan. Mereka menerima kesusahan, melakukan pengorbanan, menjawab panggilan tugas, dan bekerja dengan pemimpin mereka untuk membina hari esok yang lebih baik. Golongan lelaki adalah antara kumpulan awal yang menyertai Perkhidmatan Negara. Mereka adalah anggota pertama SAF dalam tentera darat, laut dan udara. Ramai, terutama yang perempuan, tidak tamat pendidikan mereka, dan keluar awal untuk bekerja demi menyokong keluarga dan adik-beradik yang lebih muda. Ada yang menyertai tenaga kerja di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi dan keadaan pengangguran yang tinggi, sedang pasukan tentera Inggeris menarik diri dari Singapura. Semua mula bekerja apabila gaji masih rendah. Bersama Generasi Perintis, Generasi Merdeka telah menyumbang kepada pembinaan Singapura."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong




PELUANG KONGSI KISAH GENERASI MERDEKA?



Jika anda merupakan sebahagian daripada Generasi Merdeka, kami mahu mendengar perkongsian anda. Anda boleh menceritakan tentang pengalaman semasa pergolakan Singapura dengan komunis, bersatu dan kemudian berpisah dengan Malaysia, serta detik-detik kemerdekaan Singapura pada 1965.



Kongsi bersama kami kisah-kisah pengorbanan, kerja keras dan kesusahan yang terpaksa dilalui pada zaman itu. Kumpulkan kisah-kisah menarik serta gambar-gambar mengenai detik-detik yang sukar dilupakan semasa tahun 1950-an dan hantarkan kepada bhnews@sph.com.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >