SEORANG lelaki berusia 20 tahun ditahan pada Selasa (26 Jan) kerana memandu dalam keadaan mabuk berkaitan satu kemalangan di Ekspreswe Seletar (SLE), kata polis dalam satu kenyataan pada Jumaat (29 Jan).
Pada 9.10 malam Selasa itu, polis dimaklumkan mengenai kemalangan antara sebuah kereta dan sebuah lori di SLE arah ke Ekspreswe Bukit Timah (BKE).
Pemandu kereta itu melarikan diri dari tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lori cedera dan dibawa ke hospital.
Suspek kemudian ditahan di Ang Mo Kio Avenue 9. Dia gagal ujian ujian analisis pernafasan dan dipercayai memandu kereta tanpa lesen memandu sah dan insurans motor.
Dia dijangka didakwa di mahkamah pada 11 Februari bagi kesalahan itu.
Jika didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk, dia boleh diharamkan memandu sekurang-kurangnya 12 bulan. Pesalah kali pertama boleh didenda antara $1,000 dan $5,000.
Pesalah berulang menghadapi hukuman penjara mandatori hingga tiga tahun dan denda maksimum $30,000. Jika kematian atau kecederaan serius berlaku, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali.
Bagi perbuatan memandu tanpa lesen sah dan kesalahan langgar lari, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga bulan atau denda hingga $1,000.
Polis Trafik berkata mereka mengambil pandangan serius terhadap tingkah laku jalan raya tidak bertanggungjawab dan berbahaya, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan pencegahan terhadap individu bagi melindungi pengguna jalan raya lain.