Lelaki akui pijak kepala isteri depan anak kecil

SEORANG wanita mengalami kecederaan pada mukanya apabila suaminya mengamuk dan menyerangnya di hadapan dua anak kecil mereka.
Ini selepas wanita itu memberitahu suaminya beliau tidak akan pulang ke rumah.
Dalam kejadian di stesen LRT Pending pada 26 Ogos 2018 itu, lelaki warga Singapura berusia 35 tahun itu menumbuk muka wanita itu tiga kali sehingga beliau pengsan.
Dia kemudian menendang mukanya dan memijak kepalanya.
Anak perempuan pasangan itu yang berusia enam tahun serta anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun menangis dan memekik untuk meminta lelaki itu berhenti.
Orang awam di tempat itu juga tampil membantu wanita yang berusia 35 tahun itu.
Difahamkan, pasangan itu sudah bercerai.
Lelaki itu mengaku bersalah di mahkamah hari ini (26 Nov) atas satu tuduhan sengaja mencederakan wanita itu dengan serius dan melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO).
Dia dikenakan PPO sejak Julai 2013 dan di bawah perintah itu, dia tidak boleh menggunakan keganasan terhadap isteri dan anak mereka.
Lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin $15,000 dan akan dijatuhkan hukuman pada 21 Januari 2020.