Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lelaki ancam bunuh isteri selepas culik, simbah petrol padanya

Sep 22, 2021 | 09:29 PM



DALAM keadaan tidak puas hati isteri yang tidak lagi tinggal bersamanya menolak segala usahanya berbaik-baik semula, seorang lelaki mengancam membunuh si isteri selepas menculik wanita itu dan menyimbahnya dengan petrol.



Dia kemudian menggertak ingin membunuh dirinya.



Murugan Nondoh, kini 40 tahun, juga memberitahu teman rapatnya bahawa dia tidak "akan membenarkan sesiapa pun memiliki isterinya itu memandangkan dia tidak dapat memilikinya semula".



Polis memberkasnya di Pusat Pemeriksaan Tuas dan menyelamatkan isterinya, Cik Krishnaveny Subramaniam, 40 tahun, sekitar 11 malam pada 2 Julai 2019.



Pasangan warga Malaysia itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.



Seorang saudara Cik Krishnaveny awal sebelum itu telah memberitahu polis tentang rancangan Murugan.



Murugan yang muncul di mahkamah daerah di Singapura menerusi pautan video pada Rabu (22 September) mengaku bersalah di atas beberapa kesalahan termasuk menculik, menakut-nakutkan secara jenayah dan menyerang.



Mahkamah diberitahu pasangan ini berumah tangga pada 2007 dan menetap di Johor Bahru.



Mahligai yang dibina kian retak menanti belah dengan polis juga diberitahu dalam siasatan mereka bahawa Murugan mendera secara fizikal isterinya.



Dia juga berhutang kerana tabiatnya yang suka berjudi.



Pada Februari 2019, Cik Krishnaveny memberitahu temannya dia rasa kesunyian. Beliau kemudian diberi nombor telefon seorang lelaki agar dapat berkenalan dengannya.



Mereka mula berbual tetapi tidak bertemu empat mata.



Murugan mula tidak senang apabila terbaca pesanan teks pada telefon isterinya sekitar Mac tahun itu dan mengetahui isterinya bersembang dengan lelaki lain.



Dia bersemuka dengan isterinya yang menafikan dia ada hubungan dengan lelaki lain.



Lewat bulan itu, Cik Krishnaveny pulang ke rumah ibunya di Johor Bahru dan meminta cerai.



Murugan cuba merujuk dengan isterinya tetapi si isteri sudah tawar hati.



Pada Jun tahun itu, dia dapat tahu daripada seorang anggota keluarganya bahawa Cik Krishnaveny berjaya mendapat pekerjaan di Singapura.



Timbalan Pesuruh Jaya (DPP) Delicia Tan berkata: "Dengan berharap dapat bertemu mangsa, yang tertuduh menunggu di pusat pemeriksaan Malaysia sekitar empat jam buat lima hingga enam hari pada Jun 2019."



Pada 25 Jun 2019, Murugan ternampak Cik Krishnaveny di pusat pemeriksaan Malaysia.



"Apabila si mangsa ternampak si tertuduh, beliau memberitahunya agar tidak mendekati dirinya. Jika tidak, beliau akan memekik. Mangsa cuba untuk larikan diri.



"Yang tertuduh mengejarnya, meragut begnya dan berjalan meninggalkannya," jelas DPP  Tan.



Dia menggeledah beg tersebut dan menemui permit kerja yang mengesahkan Cik Krishnaveny bekerja di Woodlands bagi sebuah syarikat yang berurusan dengan prosedur pembersihan mekanikal dan kimia.



Sebuah foto dokumen yang ada itu telah dirakam Murugan. Dia kemudian kembalikan beg itu kepada Cik Krishnaveny selepas isterinya itu memberitahu pegawai polis Malaysia di kawasan itu mengenai kejadian yang berlaku.



Selepas kejadian itu, Murugan menunggang motosikal dari Malaysia ke tempat kerja isterinya beberapa kali untuk mencarinya.



Dia malah memohon kerja di sana.



Pada 1 Julai 2019, Cik Krishnaveny dapat tahu daripada rakan sekerjanya Murugan mencarinya.



Sekitar 6 petang keesokan harinya, beliau sedang menghubungi anak saudaranya di Malaysia sambil berjalan keluar dari tempat bertugasnya apabila Murugan menunggang motosikal dari belakang.



"Yang tertuduh menggunakan lengannya bagi mencengkam leher mangsa dari belakang. Mangsa bergelut untuk bebaskan diri dan berteriak meminta bantuan sambil menangis...Beliau juga terjatuhkan telefon bimbitnya."



Anak saudaranya belum meletakkan telefon dan terdengar kekecohan antara pasangan itu. Dia kemudian memberitahu ibunya yang menghubungi polis di Singapura.



Sementara itu, Murugan mengejar Cik Krishnaveny dengan menaiki motosikal, menarik wanita itu ke arahnya.



Dia juga mengosongkan sebotol petrol dan menyimbahnya ke arah isterinya dan mengancam membakarnya jika tidak bersetuju untuk mengikutinya. Kerana takut, Cik Krishnaveny menaiki motosikal suaminya itu.



Tidak lama selepas itu, Murugan mengugut ingin menyerang Cik Krishnaveny.



Selama lima jam, mereka menaiki motosikal tanpa arah tuju sebelum akhirnya berhenti di kubur berhampiran Taman Peringatan Nirvana di Old Choa Chu Kang Road.



Sepanjang petang itu, Murugan beberapa kali memberitahu isterinya dia akan membakarnya dan kemudian membunuh dirinya.



"Dia kemudian menunjukkan isterinya sari dan dhoti yang mereka pakai ketika berkahwin 12 tahun lalu.



"Si mangsa ingat tertuduh mahu mereka berdua menyarung persalinan kahwin itu sebelum membakar diri mereka berdua kerana beliau pernah melihat pasangan suami isteri bunuh diri dengan memakai pakaian pengantin dalam filem Tamil," jelas DPP Tan lagi.



Yakin bahawa Murugan akan membunuhnya di kubur gelap dan terpencil itu, Cik Krishnaveny memberitahu suaminya itu, "teruskan sahaja dan bakarlah saya".



Murugan kemudian menghubungi temannya dan meminta lelaki itu mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman lain bagi pihaknya.



"Selepas meletakkan telefon...si tertuduh minta mangsa berjanji...jika dia bawanya pulang (ke Johor Bahru), dia tak akan buat masalah lagi untuknya, dirinya pula tak akan diulit dengan masalah dan mereka berdua akan berbaik-baik semula.



"Mangsa berulang kali memberinya jaminan dia tak akan terjebak dalam masalah," tambah DPP Tan.



Murugan kemudian bersetuju membawa isterinya pulang ke Malaysia.



Mereka berada di Pusat Pemeriksaan Tuas sekitar 11 malam di mana mereka cuba tetapi gagal dibenarkan pulang selepas mengimbas pasport dan cap jari mereka.



Pegawai polis tidak lama selepas itu tiba bagi menyelamatkan Cik Krishnaveny dan menangkap Murugan.



Cik Kirshnaveny dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana beliau dirawat kerana lebam dan pemasukan produk petrol.



Murugan akan dihukum pada 29 September.



Di atas kesalahan menculik, seorang pesalah boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan didenda, disebat atau menerima gabungan hukuman yang tertera ini. - The Straits Times



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >