POLIS sedang mencari seorang suspek rompakan bersenjata yang mengancam meletupkan sebuah kedai pajak di Boon Lay semalam (28 Julai) selepas percubaannya untuk merompak kedai itu menggunakan pisau dan pistol mainan gagal.
Menurut polis, lelaki itu memasuki kedai pajak di luar stesen MRT Boon Lay itu sekitar 4.30 petang dan dia didakwa mengancam kakitangan kedai itu dengan pisau dan pistol mainan.
Apabila kakitangan kedai tersebut enggan menuruti permintaannya untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepadanya, lelaki itu berkata dia akan meletupkan kedai itu dengan objek yang dikatakannya adalah alat letupan, kata polis menerusi laman Facebook mereka.
Suspek kemudian mencampakkan objek itu atas kaunter dan melarikan diri tanpa mengambil apa-apa barang.
Kakitangan kedai itu kemudian mencampak objek itu ke luar dan menghubungi polis.
Ekoran kejadian itu, salah satu pintu keluar di stesen MRT itu ditutup sementara.
Menyusuli pemeriksaan polis, objek itu didapati mengandungi beberapa komponen elektrik.
Polis berkata lelaki itu setinggi 1.75 meter dan kali terakhir dilihat memakai serban merah jambu, jaket biru dan seluar panjang coklat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau menerusi laman web www.police.gov.sg/iwitness.
Semua maklumat akan dirahsiakan, kata polis.
Siasatan polis sedang dijalankan.