SEORANG lelaki berusia 21 tahun ditangkap semalam (7 Mac) selepas satu kamera tersembunyi ditemui dalam sebuah tandas di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) awal bulan ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, polis berkata lelaki itu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes yang disifatkan sebagai gangguan awam itu.
Seorang wanita berusia 58 tahun telah membuat laporan polis pada 1 Mac lalu apabila beliau ternampak kamera tersembunyi itu dalam tandas orang kurang upaya di besmen satu bangunan Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial universiti tersebut, menurut akhbar The Straits Times.
Kamera itu disembunyikan dalam cangkuk plastik yang dipasang di bahagian pintu menghadap jamban.
Pegawai daripada Divisyen Polis Jurong menjalankan siasatan meluas sebelum menentukan identiti lelaki itu, menurut polis.
Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu juga terlibat dalam kes lain yang serupa.
Jika didapati bersalah terhadap tuduhan gangguan awam, dia boleh didenda sehingga $1,000.
Jika didapati bersalah mencabul kehormatan wanita pula, dia boleh dipenjara sehingga setahun dan didenda.