Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Lelaki diberkas kerana cuba tipu syarikat edar pelitup luar negara

May 28, 2020 | 08:50 AM

POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan berkaitan Covid-19 dengan menipu dan melakukan pengubahan wang haram.

Polis dalam kenyataannya tengah malam tadi berkata, mereka mendapat maklumat pada 21 Mei lalu mengenai kes melibatkan sebuah syarikat pengedaran yang berpusat di luar negara ditipu lebih daripada AS$646,000 ($915,000) bagi pembelian pelitup N95 dan pekaian pelindung diri dari, kononnya, pembekal tempatan. 

Setelah syarikat memindahkan wang tersebut ke bank tempatan, barang tidak dihantar dan pembekal tidak dapat dihubungi.

Melalui siasatan, pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersial mengenalpasti identiti 'pembekal' yang sepatutnya menerima wang dan menangkapnya kelmarin (26 Mei). 

Dua jam tangan dan wang tunai lebih dari $81,000 dirampas. 

Siasatan awal menunjukkan lelaki itu telah memperoleh wang pendahuluan pembayaran tunai dari syarikat pengedaran luar negara dan menyebarkannya kepada beberapa akaun bank tempatan dan luar negara.

Hasil campur tangan pantas dan kerjasama erat dengan tiga bank tempatan iaitu DBS, OCBC dan UOB, Pusat Anti-Penipuan Polis berjaya menemukan semula lebih $370,000 daripada jumlah yang ditipu. 

Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan mendapatkan semula baki wang. 

Kes ini menggambarkan kerjasama erat antara polis dan masyarakat dalam memerangi penipuan dan polis menghargai pihak bank atas bantuan yang tidak ternilai dalam mendapatkan semula wang yang ditipu.

Lelaki yang disyaki akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan menipu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum dipenjara sehingga 10 tahun, dan didenda.

Dia juga akan menghadapi tuduhan pengubahan wang haram, dan sekiranya bersalah, didenda tidak melebihi $500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh melayari scamalert.sg atau hubungi talian hotline anti-penipuan di 1800 722 6688. 

Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai penipuan tersebut boleh menghubungi talian hotline Polis di 1800-255-0000 atau menghantar maklumat dalam talian menerusi laman www.police.gov.sg/iwitness.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian