SEKUMPULAN 100 orang agresif di sebuah lorong belakang Geylang memaksa seorang pegawai polis preman yang sedang melakukan serbuan antimaksiat mengeluarkan pistol demi keselamatannya, mahkamah diberitahu.
Sarjan berkenaan mengacu laser pistolnya terhadap orang ramai itu, tetapi seorang lelaki berusia 48 tahun mencabar beliau menembaknya.
Lelaki berusia 22 tahun itu, Ng Hui Bing, dipenjara 10 minggu pada Selasa (27 Dis) selepas mengaku bersalah menjadi sebahagian daripada sebuah perhimpunan haram.
Mahkamah diberitahu bahawa pada kira-kira 9.45 malam 24 Julai 2015, lima pegawai preman daripada Pusat Polis Kejiranan Geylang yang sedang melakukan rondaan antimaksiat melihat seorang lelaki berusia 18 tahun mempromosikan perjudian "si gor luck" di sebuah meja judi sementara di lorong belakang antara Lorong 14 dan Lorong 16 Geylang.
Mengesyaki remaja itu, Harold Ho Kuo Lung, mempromosikan perjudian haram, mereka terpaksa menggunakan kekerasan untuk menggari tangannya, kerana dia melawan dan cuba melarikan diri.
Sedang para pegawai itu berbuat demikian, kira-kira 80 hingga 100 orang berkumpul dan menjerit ke arah mereka supaya melepaskannya.
Orang ramai kemudian menghampiri para pegawai itu, mengabaikan arahan berulang mereka agar berundur.
Lima orang - Ng, Ho Hock Hui, 48 tahun, Kee Hong Yong, 30 tahun, dan sekurang-kurangnya dua orang tidak dikenali - juga menjerit kata-kata kesat dan membuat gerak isyarat agresif terhadap mereka.
Para pegawai itu membawa Harold Ho dan berdiri di belakang meja judi itu bagi mengekalkan jarak selamat dari orang ramai.
Tetapi orang ramai mengepung mereka dan terus berkelakuan secara mengancam.
Ng bergerak ke depan dan menjerit kata-kata kesat sambil melakukan gerakan tangan secara ganas hingga terkena dan menerbalikkan meja itu.
Kee mengambil meja logam itu dan mengacah-acahkannya terhadap para pegawai itu dengan cara mengancam.
Para pegawai itu terus berundur hingga ke sebuah tembok. Kumpulan orang itu terus mara walaupun beberapa pegawai polis beruniform tiba dan cuba menyuraikan mereka.
Bimbang akan keselamatan mereka, sarjan itu mengeluarkan pistolnya dan mengacukannya pada orang ramai. Jarinya tidak diletak pada picu pistol itu.
Ini membuat orang ramai berundur, tetapi Ho Hock Hui mara dan berjalan ke arah sarjan itu. Dia menjerit kata-kata kesat dan mencabar beliau supaya menembaknya. Pegawai itu kemudian meletak semula pistol beliau ke dalam sarungnya.
Tidak lama kemudian, lebih ramai pegawai polis tiba dan menyuraikan orang ramai. Kejadian itu sebahagiannya dirakam oleh sebuah kamera televisyen litar tertutup. Ng, Kee dan Ho Hock Hui ditahan di kawasan itu pada malam yang sama.
Empat daripada lima pegawai polis preman berkenaan mengalami kecederaan akibat konfrontasi dengan orang ramai itu.
Sarjan berkenaan sakit belakang dan mengalami calar kecil di pinggang kirinya. Beliau diberi cuti sakit satu hari.
Seorang lagi sarjan, 25 tahun, mengalami lebam besar di bahagian belakang badannya dan diberi cuti sakit dua hari.
Seorang inspektor simpanan, 26 tahun, mengalami cedera ringan di kepala dan lengan dan diberi cuti sakit sehari, sementara seorang koperal, juga 26 tahun, mengalami kecederaan lutut ringan dan cuti sakit satu hari.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dwayne Lum dan Stephanie Koh meminta Ng dihukum penjara tiga hingga empat bulan.
Mereka berhujah perbuatan kumpulan orang ramai itu menakut-nakutkan dan mengancam nyawa serta keselamatan pegawai polis yang sedang menjalankan tugas mereka.
Tindakan Ng, Kee dan Ho Hock Hui menghasut dan menggalak tindakan pencerobohan lain ke atas para pegawai itu oleh orang ramai, kata mereka.