SEORANG lelaki berusia 31 tahun telah ditangkap polis kerana terlibat dalam satu kebakaran di hadapan sebuah pondok polis kejiranan (NPP) di Boon Keng malam tadi (13 Mac).
Penduduk turut mendengar bunyi letupan yang kuat daripada kebakaran itu.
Menurut polis, tiada orang cedera dalam kejadian itu.
Menurut beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian, perkataan ‘ISIS’ diconteng pada sekurang-kurangnya tiga tembok di kolong blok sehingga hampir tengah malam tadi.
Sementara itu, dinding kaca pondok polis di Blok 105 Towner Road itu turut pecah.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata kebakaran itu melibatkan beberapa pakaian dan aerosol.
Menurut penduduk, mereka mendengar bunyi letupan kuat dari arah pondok polis itu sekitar 11 malam.
Seorang penduduk Towner Road, Cik Renie Cheong, 17 tahun, berkata beliau melihat seorang lelaki berjalan ke arah sebuah lori di hadapan pondok polis itu untuk mengambil cat sembur dan menconteng perkataan ‘ISIS’ pada tembok yang berdekatan.
Selepas itu, lelaki itu melompat ke atas lori itu dan mencampakkan beberapa kad pakau ke lantai, katanya.
Tambahnya, muzik yang kuat turut bermain daripada lori itu.
Polis dimaklumkan tentang kejadian itu sekitar 11.10 malam tadi dan siasatan sedang dijalankan.
Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Encik Heng Chee How, yang turut turun padang ke tempat kejadian berkata NPP Kallang itu tidak dikendalikan pegawai.
“Saya pasti polis akan menyiasat kejadian ini dan menentukan siapa lelaki itu dan mengapa beliau melakukan demikian.
“Saya memberi jaminan kepada penduduk bahawa polis akan memastikan estet ini akan kekal selamat,” ujarnya.