Lelaki ditangkap jual pakej palsu hotel MBS bernilai lebih $360,000 di Carousell
SEORANG lelaki berusia 27 tahun diberkas polis kerana disyaki menipu lebih $360,000 menerusi penjualan pakej palsu Hotel Marina Bay Sands (MBS) di Carousell.
Polis menangkap lelaki itu selepas menerima beberapa laporan awal bulan ini daripada pengguna yang mengadu mereka ditipu seorang penjual dalam talian yang mengiklankan pakej diskaun hotel MBS di platform tersebut.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), lelaki itu membuat penipuan tersebut dengan memutuskan hubungan bersama mangsanya selepas menerima pembayaran menerusi pemindahan wang melalui PayNow atau Paylah.
Polis berkata, pegawai Jabatan Ehwal Komersial (CAD) mengenal pasti lelaki berkenaan dan memberkasnya pada Khamis (21 Jan).
Siasatan awal mendedahkan sekurang-kurangnya lapan penipuan telah dilakukan suspek, kata Polis.
Lelaki itu dijangka didakwa di mahkamah pada Jumaat atas kesalahan menipu. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.