Polis telah menangkap seorang lelaki yang menyalahgunakan pas keberangkatan untuk menghantar teman wanitanya naik pesawat di kawasan transit lapangan terbang.
Dalam kenyataannya pada Selasa, polis berkata ia memberkas lelaki tersebut pada Sabtu (12 Ogos).
Siasatan mendapati lelaki itu dipercayai membeli tiket penerbangan untuk memperoleh pas tersebut.
Dia didakwa menggunakan pas itu untuk memasuki kawasan transit supaya dapat menghantar teman wanitanya yang akan berlepas dari Singapura.
“Oleh kerana lelaki itu tidak mempunyai hasrat untuk meninggalkan Singapura, dia ditangkap kerana melanggar Akta Perlindungan Prasarana 2017, yang melarang penyalahgunaan pas keberangkatan untuk memasuki tempat terlindung dalam lapangan terbang,” kata polis.
Siasatan masih berterusan, tambahnya.
Polis berkata sejak Januari hingga Ogos 2023, ia telah menangkap seramai 16 individu kerana memasuki kawasan transit bagi tujuan bukan untuk meninggalkan Singapura.
“Polis ingin mengingatkan orang awam bahawa kawasan transit di Lapangan Terbang Changi diwarta sebagai Tempat Terlindung.
“Mereka yang menggunakan pas keberangkatan untuk memasuki kawasan transit atas sebab lain, selain melakukan perjalanan keluar dari Singapura, akan dikesan dan diberkas,” tegas polis.
Jika didapati bersalah, mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan denda tidak melebihi $20,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.