SEORANG lelaki meninggal dunia setelah jatuh di Masjid Sultan sebelum maghrib, semalam.
Allahyarham Mohamed Aziz Ghulam Mohamed, yang dipercayai berusia 56 tahun, jatuh di koridor yang menuju ke dewan solat masjid setelah hilang imbangan.
Kejadian tersebut berlaku sekitar 6.30 petang.
Menurut pegawai sokongan korporat masjid, Cik Syahidah Hussain, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Allahyarham hilang imbangan sebelum terjatuh.
Kepalanya pula terhentak di lantai, menyebabkan sedikit darah mengalir keluar daripada belakang kepalanya.
Cik Syahidah menambah Allahyarham kerap mengunjungi masjid manakala keluarganya pula merupakan penerima fidyah di bawah Masjid Sultan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis sedang menyiasat punca kematian luar biasa itu.