Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERDEBATAN KERTAS PUTIH BAGI PEMBANGUNAN WANITA

Lelaki perlu proaktif sokong semua wanita dalam hidup mereka

Apr 06, 2022 | 05:30 AM



KAUM adam perlu tampil meningkatkan usaha membentuk masyarakat lebih inklusif, progresif dan saksama bagi kededua lelaki dan wanita.



Mereka perlu menyerlahkan komitmen tersebut melalui sikap dan perbuatan dan bukan hanya dalam bentuk kata-kata, menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam membahaskan Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura di Parlimen semalam.



Kertas Putih tersebut melakarkan rancangan pemerintah bagi menangani pelbagai isu berkenaan kaum Hawa bagi mencapai masyarakat lebih adil yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.



Gesaan bagi kaum lelaki tersebut berasaskan kepercayaan bahawa kededua lelaki dan wanita boleh mewujudkan kerjasama yang adil berserta rasa hormat antara satu sama lain, kata Encik Masagos.



"Saya percaya kita sebagai kaum lelaki boleh mencetus perubahan, bagi wanita kita dan juga bagi kita sendiri. Justeru saya menggesa semua lelak untuk pertingkat usaha kerana banyak lagi yang boleh kita lakukan.



"Namun, saya ingin tekankan dengan jelas bahawa ini bukan pendekatan persaingan 'campur-tolak' ...Pendekatan kita bukan untuk menegakkan hak satu pihak dan tidak mengendahkan hak pihak lain. Sebagai lelaki, kita perlu memainkan peranan lebih besar untuk menggalakkan kerjasama yang lebih saksama," katanya.



Menukil contoh peranan kaum bapa di rumah, Encik Masagos menekankan pentingnya mengajar anak-anak lelaki untuk menghormati semua wanita, mulai dari usia kecil.



Ini selain menerapkan nilai yang baik dalam diri anak-anak dan juga menjadi contoh yang baik melalui sikap dan tindakan, tambahnya.



Encik Masagos turut meminta kaum adam memikul tanggungjawab lebih dalam bidang penjagaan agar beban tersebut dapat dikongsi dengan lebih saksama.



"Kita percaya dengan perkongsian sama rata antara kaum lelaki dan wanita, dengan rasa hormat sebagai nilai asas.



"Kita memuliakan dan menghormati wanita kerana ia adalah perkara yang betul dan bermoral," kata Encik Masagos dalam bahasa Melayu.



Turut menekankan peranan kaum adam dalam membentuk masyarakat yang lebih adil, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata sikap yang lebih proaktif dalam menyokong wanita amat diperlukan.



"Cuba fahami dan lihat dari perspektif wanita. Elakkan dari mansplaining (menerangkan sesuatu kepada wanita dengan cara merendahkan mereka), menggunakan kata-kata seolah memandang rendah mereka, atau melakukan sesuatu di hadapan mereka yang membuat mereka berasa malu.



"Kita harus lebih proaktif dalam memberi sokongan kepada semua wanita dalam hidup kita, sepertimana mereka memberi sokongan kepada kita," katanya sambil menambah ini dapat dilakukan dengan memikul tanggungjawab yang biasanya dikaitkan dengan wanita seperti melakukan kerja rumah dan menjaga anak-anak.



Meskipun ini sudah dilakukan sebahagian besar kaum adam, lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk menunjukkan perpaduan dengan wanita.



Menyampaikan mesej khusus kepada belia, Encik Ong menggesa golongan tersebut untuk menghormati satu sama lain dan memastikan permainan atau jenaka yang dikeluarkan sesuai dan boleh diterima oleh semua, wanita dan lelaki.



"Kesalahan seksual merupakan masalah yang semakin meningkat di kalangan generasi anda. Walaupun belia lelaki mungkin tidak selesa dengan perkara ini, namun mereka perlu dengar.



"Elakkan menjadi sebahagian daripada masalah, tapi sumbanglah kepada huraiannya. Apabila timbul keraguan, lakukan perkara yang betul. Jaga wanita kita," ujarnya.



Menyentuh tentang unsur 'patriarki' yang masih wujud dalam masyarakat, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) menekankan anjakan minda penting dalam memupuk kesaksamaan yang perlu bermula dari rumah.



"Hampir setiap lelaki bersetuju bahawa pemikiran patriarki, misoginis dan tingkah laku ganas tidak boleh diterima masyarakat.



"Membanteras keganasan keluarga dan kemudaratan dalam talian mesti bermula dengan kita semua. Ini memerlukan pendekatan keseluruhan negara - ahli keluarga, kaum bapa, masyarakat secara amnya.



"Oleh itu, Kertas Putih ini bukan sahaja penting untuk wanita tetapi ia juga penting untuk semua lelaki," katanya.




“Kita lihat lebih ramai wanita dilantik sebagai pemimpin, termasuk juga di institusi agama dan badan-badan masyarakat Melayu/Islam. Sekarang ada 122 anggota wanita yang kini menganggotai Lembaga Pentadbir Masjid (MMB). Mahkamah Syariah kini dipimpin oleh Presiden Kanan wanita yang pertama, dan beliau disokong oleh golongan profesional undang-undang wanita lain seperti Presiden, pendaftar serta penolong pendaftar, di mana kaum wanita membentuk 66 peratus daripada kepimpinan Mahkamah Syariah. Pencapaian wanita boleh dibanggakan. Namun, kita akan terus mempertingkatkan dan membina usaha-usaha memperkasa wanita Melayu/Islam mencapai aspirasi mereka.”
- Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.



“Kini lebih ramai wanita Melayu yang berkhidmat sebagai anggota lembaga pentadbir masjid, dan juga badan-badan Melayu/Islam Singapura. Namun, jika dibandingkan dengan jumlah lelaki, bilangan kaum wanita masih belum capai 50 peratus yang sandang jawatan sebagai anggota pengarah pentadbiran. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita ada pengerusi wanita di masjid? Saya harap lebih banyak peluang dan ruang dibuka bagi kaum wanita kita untuk menyandang tanggungjawab dalam pucuk kepimpinan institusi-institusi kita, bukan sahaja di Mendaki, Muis dan masjid-masjid, malah di badan-badan Melayu/Islam dan syarikat swasta supaya kepelbagaian pendapat boleh diraih dalam perbincangan dan pembentangan dasar.

- Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >