SEORANG lelaki warga Singapura telah mengaku bersalah atas penglibatannya dalam kematian isterinya di sebuah apartmen mewah di Newcastle, England, ketika bercuti tahun lalu.
Fong Soong Hert, 50 tahun, telah dihadapkan ke mahkamah Newcastle Crown, di mana dia mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya secara tidak sengaja.
Dia menolak tuduhan lebih berat, iaitu membunuh isterinya, Cik Pek Ying Ling, 51 tahun, dan dijadualkan untuk perbicaraan pada 6 Jun.
Mahkamah Newcastle Crown memberi pengesahan kepada akhbar The Straits Times (ST) bahawa Fong masih ditahan reman.
Mendiang Pek meninggal pada 6 Disember tahun lalu di Country Aparthotel, di Westgate Road.
Polis Northumbria berkata dalam satu catatan Facebook pada 9 Disember tahun lalu bahawa mereka menerima panggilan pada sekitar 7.15 pagi pada 6 Disember (3.15 petang waktu Singapura) untuk bantuan kecemasan bagi Cik Pek di hotel tersebut.
Pegawai perkhidmatan kecemasan cuba menyelamatkan Cik Pek setelah mendapati beliau tidak bernafas, namun beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Fong kemudian ditahan dan dikenakan tuduhan membunuh.
Pasangan itu sedang melancong bersama selama dua setengah bulan ke negara-negara termasuk Amiriah Arab bersatu (UAE), Abu Dhabi, Croatia dan Scotland sebelum ke Newcastle.
Pasangan itu mempunyai tiga anak lelaki dan telah bertemu dengan anak sulung mereka di Newcastle pada 3 Disember. Mereka juga merancang untuk bertemu anak-anak yang lain dalam perjalanan mereka.
Cik Pek telah berhenti kerja dalam industri penganjuran acara pada 2020 dan Fong mengendalikan syarikat konsultansi acara.
Mereka yang disabitkan dengan pembunuhan di Britain dihukum penjara seumur hidup.