POLIS telah memberkas seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki terlibat dalam siri penipuan e-dagang membabitkan penjualan tiket bas Laluan Perjalanan Orang Yang Divaksin (VTL).
Pada 19 Februari 2022, polis menerima laporan daripada mangsa yang dikatakan ditipu seorang penjual dalam talian yang mengiklankan jualan tiket bas VTL.
Selepas mangsa membuat bayaran berjumlah $195, penjual dikatakan gagal mengirimkan tiket bas VTL berkenaan dan tidak dapat dihubungi,
Menerusi siasatan susulun, pegawai daripada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) mengesahkan identiti lelaki itu dan memberkasnya pada 3 Mac.
Satu siasatan awal menunjukkan dia dipercayai terlibat dalam beberapa kes tipu. Lelaki ini akan didakwa di mahkamah pada 7 Mac kerana menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan 1871.
Kesalahan itu membawa pada penjara hingga 10 tahun dan denda.
Polis ingin menasihati orang ramai bahawa tiket VTL boleh dibeli daripada penyedia tiket bas VTL yang dilantik. Tiket bas VTL ini tidak boleh dipindah milik.
Bagi keterangan lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh melungsuri laman scamalert.sg atau hubungi talian Hotline Anti-Penipuan di 1800-722-6688.
Sesiapa dengan keterangan mengenai penipuan ini boleh hubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau beri keterangan dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness.