Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lelaki yang serang anak tiri empat tahun hingga maut bebas dari tuduhan bunuh, sebaliknya dituduh menyebabkan sakit mudarat pada mangsa

Mar 01, 2022 | 09:44 PM



SEORANG lelaki 29 tahun yang menyerang anak tiri perempuannya yang berusia empat tahun dalam kemarahan selepas budak itu terkencing di lantai dibebaskan daripada tuduhan membunuh pada Selasa (1 Mac).



Muhammad Salihin Ismail sebaliknya didakwa dengan tuduhan lebih ringan menyebabkan kesakitan yang membahayakan nyawa budak itu.



Hakim Mahkamah Tinggi Pang Khang Chau mendapati walaupun Salihin sengaja menendang mangsa, tiada niat baginya memukul bahagian tubuh yang kemudian membawa pada kecederaan yang menyebabkan maut.



"Bukti yang diberikan si tertuduh adalah dia bertindak marah dengan menendang mangsa. Dia hanya menendang apa yang ada di depannya (perut mangsa) dan tidak mensasarkan mana-mana bahagian tubuh mangsa," kata hakim.



Unsur niat mencederakan tubuh mangsa hingga membawa maut tidak dapat dibuktikan, tambah Hakim Pang.



Salihin dibicarakan tahun lalu atas kesalahan membunuh budak itu, Nursabrina Agustiani Abdullah, yang mengalami kecederaan perut membawa maut antara 1 September hingga 2 September 2018, di rumah sewa keluarga itu di Bukit Batok.



Budak yang dikenali sebagai Sabrina oleh keluarganya dibawa ke hospital pada pagi 2 September dan disahkan meninggal sekitar 10.15 pagi.



Salihin mengahwini ibu Sabrina, Syabilla Syamien Riyadi, 24 tahun, pada 2016 apabila Sabrina berusia dua tahun.



Pasangan ini mempunyai sepasang anak kembar lelaki bersama.



Mahkamah diberitahu terdapat dua kejadian pada 1 September di mana Salihin marahkan budak itu kerana kencing di lantai. Ibu budak itu bekerja semasa kejadian.



Sewaktu kejadian pertama pada waktu pagi, Salihin bertindak dengan mengangkat budak itu ke atas mangkuk tandas.



Pihak pendakwa mendakwa Salihin menumbuk budak perempuan itu tetapi hakim menerima bahawa si tertuduh hanya menggunakan genggaman tangannya untuk memastikan budak itu tidak jatuh daripada mangkuk tandas itu.



Dalam kejadian kedua pada tengah hari, Salihin menolak Sabrina dan menendang perutnya dua kali sedang budak itu terbaring di lantai.



Pada petangnya, budak itu mengadu sakit perut dan mula muntah semalaman. Dia tidak sedarkan diri keesokan pagi.



Bedah siasat mendapati bahawa budak itu meninggal kerana pendarahan dalaman pada perutnya ekoran trauma daripada sesuatu yang mengena perutnya secara paksa.



Salihin, yang dibela peguam Encik Eugene Thuraisingam menyatakan bahawa kejadian lain tengah hari itu menyebabkan kecederaan yang berlaku.



Menurutnya, kecederaan itu berpinca daripada kesan muntah apabila anak kembar Salihin melonjak atas perut Sabrina atau ketika Salihin menjalankan bantuan pernafasan ke atasnya.



Bagaimanapun, Hakim Pang mendapati kesan yang membawa pada kejadian ini sedikit sahaja.



Kes ini ditunda bagi hukuman. Kesalahan menyebabkan kesakitan yang membawa maut itu membawa pada hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda atau sebatan rotan.



Salihin juga berdepan dengan dua lagi tuduhan bertindak ganas ke atas budak itu.



Dia dituduh melecurkan budak itu dengan air panas yang mengalir daripada hulu semburan yang dikatakan diletak Salihin pada belakang badan budak itu selama lima hingga enam saat di flat ibu bapanya antara Julai dengan Oktober 2017.



Dia juga dituduh menghentak kepala Sabrina pada lantai antara Januari dengan April 2018.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >