LEMBAGA Pengiktirafan Asatizah (ARB) berkata ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika terbukti dalang di sebalik 'tinjauan' lucah yang tular baru-baru ini merupakan graduan pengajian Islam seperti yang dilaporkan.
ARB juga "tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan ajaran agama kepada masyarakat Islam di Singapura dalam apa jua bentuk wadah yang disediakan", kata lembaga itu dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa yang sama, ARB akan mewujudkan program pemulihan "agar mereka sedar dengan kesalahan yang dilakukan serta bertaubat kepada Allah".
Berita Harian (BH) melaporkan Jumaat lalu bahawa laporan polis telah dibuat setelah timbul satu tinjauan dalam talian di wadah media sosial MeWe yang menilai 12 ustazah setempat berdasarkan tarikan seksual mereka.
'Tinjauan' itu dimulakan oleh pengguna yang menggelar dirinya M.A dan dikongsi dalam kumpulan tertutup bernama 'Awek Tudung'.
Dilaporkan bahawa ada daripada pihak terlibat dalam tinjauan itu dikatakan merupakan pelajar pengajian Islam.
Semalam, ARB meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi sedang siasatan dijalankan.
"Pihak ARB meminta masyarakat jangan melanjutkan spekulasi mengenai isu ini, memandangkan ia sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa dan siasatan sedang dijalankan.
"Namun, pihak ARB ingin menegaskan di sini bahawa sekiranya terbukti mereka yang menjadi dalang dalam isu yang tidak bermaruah ini terdiri daripada graduan pengajian Islam seperti yang dilaporkan, pihak ARB tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka, serta tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan ajaran agama kepada masyarakat Islam di Singapura dalam apa jua bentuk wadah yang disediakan," kata ARB.
Dalam kenyataannya semalam, ARB juga merakamkan rasa amat kesal berikutan kejadian tersebut, dengan gambar asatizah wanita disalah guna dalam kejadian gangguan seksual dalam talian itu.
"Pihak ARB mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tersebut kerana ia telah melanggar norma kesopanan dan akhlak yang diajar dan dianjurkan oleh agama Islam.
"Apatah lagi ia menjejaskan golongan ustazah tempatan dengan menggunakan gambar mereka untuk tujuan yang cukup keji dan mungkar," kata ARB.
Lembaga itu menambah, perkara tersebut amat serius dan perlu ditangani dengan segera.
Dalam pada itu, ARB berkata ia amat prihatin dan melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terjejas.
"Oleh kerana isu ini telah memberi impak yang cukup mendalam serta menjejas kehidupan mereka dari segi minda dan emosi, pihak ARB memberi jaminan bahawa ia sentiasa menyokong dan akan memastikan insiden pahit ini dapat diharungi dan diatasi dengan segera dan sebaik mungkin.
"Pihak ARB juga ingin menekankan gangguan seksual terhadap kaum wanita harus dihentikan serta-merta kerana ia adalah tindakan yang tidak bermaruah dan ditegah agama.
"Asatizah juga harus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dan membendung gejala keji ini dari berakar dalam masyarakat," kata ARB.
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mengarahkan wadah media sosial MeWe untuk menghapuskan tinjauan lucah tersebut jika ia masih ada dan pada masa yang sama meminta wadah media sosial besar seperti Facebook, Google dan Twitter agar memastikan pos itu tidak tular di wadah mereka.
Berita Minggu (BM) difahamkan tinjauan itu telah dipadamkan.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membuat laporan polis bagi pihak berkuasa mempercepatkan siasatan mengenai hal ini dan akan membawa pesalah ke muka pengadilan.
Presiden Halimah Yacob pada Jumaat lalu turut menggesa pihak berkuasa menimbangkan apakah orang terlibat - ada daripada mereka dikatakan merupakan pelajar pengajian Islam - masih layak berdakwah kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian.