Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lesen restoran Spize di River Valley digantung

Nov 10, 2018 | 11:18 AM



SEKURANG-KURANGNYA 49 orang jatuh sakit kerana didapati mengalami radang perut dan usus (gastroenteritis) selepas memakan makanan yang disiapkan restoran Spize, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam (10 November).



Daripada 49 kes, 21 ditahan di hospital. Kesemua yang terjejas telah memakan makanan yang disiapkan restoran Spize di cawangan River Valley Road, Selasa lalu.



Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaaan (NEA) dan Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) telah diberitahu kali pertama berkenaan kes itu pada Rabu lalu dan telah menjalankan pemeriksaan di restoran itu pada hari yang sama.



Semasa pemeriksaan itu, pihak berkuasa mendapati kesalahan berkaitan kebersihan.



Ini termasuk membiarkan makanan siap makan tidak ditutup di dalam peti ais, tidak menyediakan sabun untuk mencuci tangan, bekas menampung sabun rosak dan membiarkan pisau yang digunakan untuk menyediakan makanan siap makan, diselitkan di jurang antara meja persiapan makanan.



NEA berkata Spize diarah untuk memperbaiki isu tersebut dengan serta-merta dan lesen cawangan River Valley Road digantung “untuk melindungi pelanggan daripada risiko kesihatan ekoran operasi berterusan di kedai makanan tersebut.”



Selain itu, Spize juga diberitahu untuk membuang kesema makanan siap makan, makanan yang telah dinyahbeku dan makanan mudah rosak disamping menjalankan pembersihan dan mensanitasikan kedai makan itu, peralatannya, perkakas dapur, ruang membuat kerja dan tandas.



Spize juga perlu menyemak dan memperbetulkan kesilapan dalam proses menyediakan makanan yang telah dikenal pasti semasa pemeriksaan bersama itu.



Lesen bagi cawangan Spize di River Valley Road akan kekal digantung sehingga NEA berpuas hati dengan risiko kesihatan awam yang telah diperbaiki.



NEA berkata ia akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang diperlukan terhadap Spize ekoran pelanggaran yang didapati semasa pemeriksaan bersama itu.



“Pengendali makanan berlesen mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan sistem dan proses yang diperlukan bagi memastikan kakitangan yang mengendalikan makanan mematuhi piawaian kebersihan yang tinggi pada setiap masa.



“Pengendali makanan juga diingatkan untuk memastikan kesemua kakitangan yang mengendalikan makanan berdaftar dengan NEA dan tidak terlibat dalam menyediakan makanan jika mereka sakit,” kata NEA.



NEA menambah cawangan kedai makan sering diperiksa dan tindakan penguatkuasaan ketat akan diambil terhadap sebarang cawangan kedai makan yang tidak mematuhi peraturan.



NEA menasihati orang awam untuk melaporkan insiden sedemikian dengan menghubungi talian 24 jam NEA di 1800-CALL-NEA (1800-2255-632).



Sampel makanan dan ruangan sekitaran restoran Spize di River Valley Road juga telah diambil AVA sebagai sebahagian daripada proses siasatan. Ujian makmal sedang dijalankan.



MOH juga telah mengumpul sampel najis daripada mereka yang terjejas dan merujuk kakitangan yang mengendalikan makanan di cawangan itu untuk menjalani pemeriksaan najis.



Bercakap kepada Berita Harian, pemilik Spize Encik Haresh Sabnani, 41 tahun, berkata beliau terperanjat dan terkesan terhadap apa yang berlaku.



Menurutnya, cawangan Spize di River Valley telah menyediakan 88 set makanan ‘bento’ yang dipesan syarikat keselamatan, Brink’s Singapore.



Set makanan itu yang dihantar semasa cuti umum Deepavali lalu mengandungi nasi, daging dan sayur.



Apabila dihubungi, Encik Haresh berkata makanan yang disediakan semuanya dimasak di tempat itu sebaik pesanan diterima.



“Kami juga tidak pasti apa yang berlaku,” jelasnya.



Pihaknya juga, tambah Encik Haresh, sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya kejadian ini.



“Saya sendiri amat terperanjat apabila diberitahu tentang kejadian ini kerana ia merupakan kali pertama ia terjadi.



“Kami sebenarnya amat menitikberatkan soal kebersihan dan sering mengekalkan kebersihan peralatan yang kami gunakan kerana kami tahu akan risikonya.



“Kesemua tukang masak kami juga telah menghadiri kursus kebersihan.



“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengetahui punca insiden ini,” katanya lagi.



Sementara itu, menulis kepada Berita Harian, seorang jurucakap pihak pengurusan Brink's berkata beberapa kakitangan mereka jatuh sakit selepas memakan makanan yang telah mereka pesan dari syarikat katering pihak ketiga untuk menyambut Deepavali.



“Buat masa ini, keutamaan kami ialah kesihatan para kakitangan kami.



“Kami akan memberi sokongan kepada kakitangan kami dan keluarga mereka.



“Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan sedang mereka menyiasat punca kes ini,” katanya lagi.



Dalam pada itu, menjawab pertanyaan akhbar ini berhubung seorang mangsa yang terjejas dan dimasukkan ke Hospital Besar Sengkang, jurucakap hospital itu berkata:



“Kami boleh mengesahkan bahawa kami menerima kes berkenaan.



“Pasukan perubatan kami sedang bekerjasama untuk menawarkan rawatan terbaik yang mungkin.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >