SATU kebakaran kecil berlaku di sebuah kedai kopi di sebuah blok HDB di Bukit Panjang pada pagi Rabu (16 Mac), dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memindahkan penduduk di tingkat dua dan tiga sebagai langkah berjaga-jaga.
Namun, tiada sembarang kecederaan dilaporkan.
Menurut saksi, kebakaran di Blok 257, Bangkit Road itu bermula sekitar 10.30 pagi di sebuah gerai nasi di sudut kanan kedai kopi tersebut.
Encik Lim Ah Chye, penjual mi ladu di sebuah kedai kopi bertentangan, berkata beliau melihat asap keluar dari sudut tersebut sebelum mendengar bunyi letupan kuat.
Menurutnya, asap daripada kebakaran itu naik setinggi enam hingga tujuh tingkat.
SCDF berkata ia menghantar sebuah kereta bomba, dua red rhino, tiga motosikal bomba, sebuah kenderaan sokongan dan sebuah ambulans ke tempat kejadian.
Api dipadamkan dalam tempoh 20 minit dengan menggunakan dua jet air.
Menurut akhbar dalam talian The Straits Times, Encik Shui Poh Cheng, 65 tahun, yang gerai mi udangnya terletak di sebelah gerai nasi itu, mendakwa kebakaran tersebut berpunca daripada kecuaian pemilik gerai nasi itu.
"Dia membiarkan sebuah kuali berisi minyak di atas dapur dan pergi membeli sesuatu," kata Encik Shui.
Punca kebakaran itu masih disiasat.